PARIS, 6 NOV – Paris Saint-Germain (PSG) bakal kehilangan Ousmane Dembele, Achraf Hakimi dan Nuno Mendes selama beberapa minggu selepas ketiga-tiga pemain itu mengalami kecederaan dalam kekalahan Liga Juara-juara kepada Bayern Munich Selasa lalu.
Pemenang Ballon d’Or, Dembele, dikeluarkan selepas hanya 25 minit sebelum bintang Maghribi, Hakimi, terpaksa dibantu keluar padang sambil menangis susulan kekasaran oleh Luis Diaz yang menyebabkan penyerang Bayern Munich itu dilayangkan kad merah.
PSG kelmarin berkata, Dembele mengalami kecederaan betis dan memerlukan rawatan beberapa minggu. Pemain antarabangsa Perancis itu memulakan perlawanan buat kali kedua sejak mengalami kecederaan hamstring semasa bermain untuk negaranya pada awal September lalu.
Hakimi didiagnosis mengalami kecederaan yang teruk dan berdepan tempoh rehat selama beberapa minggu, kata kelab itu. Dia juga mungkin mengejar masa untuk kembali cergas bersama pasukan tuan rumah Maghribi di Piala Negara-negara Afrika, yang bermula pada 21 Disember.
Nuno Mendes telah bermain selama 90 minit penuh dalam kekalahan 2-1 kepada Bayern tetapi kemudiannya mengalami kecederaan akan menyertai Dembele dan Hakimi untuk berehat daripada menyertai perlawanan.
Ketiadaan mereka menambah lagi senarai kecederaan yang semakin bertambah di PSG termasuk Desire Doue, yang diusung keluar kerana kecederaan paha dalam perlawanan Ligue 1 di Lorient minggu lalu. – AFP


