PARIS, 19 DIS – Paris Saint-Germain bangkit daripada ketinggalan untuk melanjutkan rekod tanpa kalah mereka dalam musim Ligue 1 dengan kemenangan 4-2 ke atas Monaco semalam, namun kehilangan penjaga gol Gianluigi Donnarumma akibat kecederaan muka yang serius.
Pemain antarabangsa Itali itu yang berlumuran darah memerlukan 10 jahitan selepas mengalami luka di bahagian kanan muka susulan terkena kasut pemain pertahanan Monaco, Wilfried Singo.
“Saya tidak tahu sama ada pengadil berada di posisi yang salah tetapi penilaian VAR diperlukan, awda perlu melindungi pemain,” kata kapten PSG, Marquinhos.
“Tidak memberikan kad merah dalam situasi seperti itu adalah keputusan besar dan memang mengejutkan.”
Singo terselamat daripada hukuman atas perlanggaran yang tidak disengajakan, manakala Donnarumma digantikan Matvey Safonov sebelum Desire Doue meletakkan PSG di depan dengan gol pertama liga buat juara bertahan itu.
Gol itu hadir selepas Achraf Hakimi hampir menjaringkan gol melalui hantaran silang yang mengenai tiang, namun Monaco membalas dengan dua gol dalam tempoh tujuh minit selepas rehat.
Eliesse Ben Seghir menyempurnakan penalti yang diberikan apabila bola terkena tangan Marquinhos bagi menyamakan kedudukan. – AFP