PARIS, 1 Okt – Neymar menjaringkan dua gol, termasuk sepakan penalti pada separuh masa pertama, dan mencipta satu lagi gol ketika Paris Saint-Germain (PSG) membenam Bordeaux, yang belum pernah tewas dalam perlawanan sebelumnya, dengan 6-2 dalam persaingan Ligue 1 semalam.
Pemain dari Brazil itu menyudahkan jaringan menerusi sepakan bebas dari jarak 30 ela, selepas hanya lima minit perlawanan bermula di Parc des Princes sebelum menjadi penghantar bagi jaringan Edinson Cavani untuk menggandakan pendahuluan tujuh minit kemudian.
Sepakan menarik Thomas Meunier memastikan kedudukan menjadi 3-0 bagi PSG pada minit ke-21, tetapi Bordeaux kembali memberikan persaingan ketika Younousse Sankhare memberikan sentuhan terakhir daripada satu gerakan licik.
PSG kemudian diberikan sepakan penalti, yang pertama sejak perbalahan di antara Neymar dan Cavani mengenai tugasan sepakan penalti yang membayangi kemenangan 2-0 menentang Lyon dua minggu lalu, dengan Neymar kali ini mengambil sepakan untuk menyempurnakannya.

“Bagi saya perkara penting dengan sepakan penalti adalah untuk menjaringkannya,” kata jurulatih PSG, Unai Emery.
“Perkara utama adalah dua dari mereka melihat peluang ini dan mereka boleh melakukan sepakan penalti. Keputusan tersebut terserah kepada kedua pemain. Kami sudah bercakap mengenainya secara dalaman.”
Julian Draxler meledakkan voli kencang sebelum berakhirnya separuh masa pertama dan Kylian Mbappe menambah satu lagi pada minit ke-58, sementara Malcolm menjaringkan gol penalti yang lewat bagi Bordeaux, ketika PSG melebarkan tiga mata dari juara bertahan, Monaco di kedudukan teratas.
“Ia adalah kemenangan yang bagus menentang pasukan yang masih belum tewas,” kata Mbappe.
“Kami tidak perlu memberikan mesej, kami hanya memberikan tumpuan ke atas diri kami. Kami masih boleh melakukan yang terbaik, kami tidak akan memilih, tetapi masih terdapat ruang bagi sedikit lagi.”
Emery merehatkan Thiago Silva bagi kunjungan ke Bordeaux yang berada di kedudukan ketiga, yang tiba di ibu negara itu mengekori PSG dengan hanya empat mata selepas tujuh perlawanan. – AFP