NEW YORK, 10 JULAI – Juara Liga Juara-Juara Eropah Paris Saint-Germain (PSG) mengatasi Real Madrid dengan kemenangan besar 4-0 kelmarin di New York untuk mara ke final Piala Dunia Kelab menentang Chelsea, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Fabian Ruiz menjaringkan dua gol manakala Ousmane Dembele dan Goncalo Ramos masing-masing turut mencetak nama sebagai penjaring ketika Madrid langsung tidak berupaya menyaingi pasukan dari Perancis itu.
PSG akan bertemu Chelsea di Stadium MetLife yang sama di New York Ahad ini. The Blues sebelum ini menewaskan kelab Brazil, Fluminense 2-0 pada Selasa.
Ruiz membuka tirai jaringan pada minit keenam apabila mudah menolak masuk bola selepas percubaan Dembele dinafikan penjaga gol Madrid, Thibaut Courtois.
Tiga minit kemudian, Dembele memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan Madrid dan percubaannya kali ini gagal diselamatkan Courtois untuk gol kedua PSG.
Ruiz menjaringkan gol keduanya hasil serangan balas pantas pada minit ke-24 sekali gus memastikan kemenangan PSG pada separuh masa pertama.
Ramos melengkapkan aksi cemerlang PSG menerusi gol keempat pada minit ke-87.
Ia merupakan penamat yang pahit bagi legenda kelab, Luka Modric dalam penampilan terakhirnya bersama Real Madrid. Beliau masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-64 dalam perlawanan terakhirnya untuk kelab yang diwakilinya selama 13 tahun. – Bernama/dpa
