Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    PSG berdepan undian sukar

    MANCHESTER, 25 NOV – Paris Saint-Germain bakal berdepan undian sukar dalam aksi pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah selepas Manchester City menjuarai Kumpulan A dengan kemenangan 2-1 ke atas kelab Perancis itu.

    Kylian Mbappe meletakkan PSG di depan lima minit selepas babak kedua aksi di Stadium Etihad bermula, tetapi City bangkit meraih kemenangan menerusi Raheem Sterling dan Gabriel Jesus.

    Sebelum perlawanan bermula, pengendali PSG, Mauricio Pochettino di-asak dengan soalan berkenaan perpindahannya ke Manchester United semasa sidang media.

    “Pemain-pemain tahu situasi kami. Kami hidup dalam dunia di mana khabar angin sentiasa tersebar, ada kalanya positif dan ada kalanya negatif,” kata Pochettino menjawab spekulasi dia akan menggantikan Ole Gunnar Solskjaer.

    Tahun pertama pengendali dari Argentina itu di ibu negara Perancis tidak mudah walaupun skuadnya dibarisi bintang namun mereka kini mendahului Ligue 1 dengan kelebihan 11 mata.

    Kehadiran Lionel Messi untuk bergandingan dengan Mbappe dan Neymar menyebabkan jangkaan semakin memuncak untuk Pochettino membawa mahkota Liga Juara-Juara ke Paris buat julung kalinya.

    Namun kini mereka berdepan pasukan seperti juara bertahan Chelsea, Bayern Munich atau Liverpool pada peringkat kalah mati.

    City pula mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan dengan kelebihan empat mata ketika saingan berbaki satu perlawanan. PSG mara sebagai naib juara apabila RB Leipzig membelasah Club Brugge 5-0.

    “Kami perlu memperbaiki corak permainan. Saya gembira dengan proses. Keadaan adalah lebih baik daripada sebulan lalu dan jauh lebih baik dari dua bulan lalu. Sedikit demi sedikit pasukan akan menjadi lebih baik,” kata Pochettino. – AFP

    Penyerang Manchester City Gabriel Jesus (kanan) rai bersama Bernardo Silva (kiri) dan Joao Cancelo selepas menjaringkan gol kedua pasukan dalam perlawanan Kumpulan A Liga Juara-Juara di antara Manchester City dan PSG di Stadium Etihad di Manchester pada 24 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda