PARIS, 29 OKT – Juara Eropah bertahan, Paris Saint-Germain (PSG) kelmarin telah melaporkan jumlah pendapatan tertinggi dalam sejarah kelab iaitu sebanyak 837 juta euro (AS$975.6 juta) bagi musim lalu, walaupun terdapat kebimbangan terhadap saiz stadium mereka mengehadkan pertumbuhan kelab tersebut.
Dalam satu kenyataan yang mengumumkan keputusan kewangan tahunan, PSG dibawah naungan Qatar Sports Investments (QSI) menyifatkan musim 2024/25 di mana mereka memenangi Liga Juara-Juara buat kali pertama sebagai ‘musim bersejarah dari segi sukan dan ekonomi’.
Kelab yang dibeli oleh QSI pada tahun 2011 itu berkata, hasil komersial sahaja telah mencecah sebanyak 367 juta euro, manakala pendapatan hari perlawanantermasuk jualan tiket dan hospitaliti, mencapai 175 juta euro.
Jumlah keseluruhan pendapatan meningkat sedikit daripada 806 juta euro pada musim sebelumnya, ketika Real Madrid menjadi kelab pertama menjana satu bilion euro dalam pendapatan bagi satu musim.
PSG menduduki tempat ketiga dalam Deloitte Football Money League telah memberikan penarafan kekuatan kewangan kelab bagi musim 2023/24, di belakang Madrid dan Manchester City, dengan pendapatan City ketika itu mencapai 837.8 juta euro.

“Prestasi ini menunjukkan kematangan projek sejak kedatangan pemegang saham utama, QSI dan mengesahkan kekukuhan model ekonomi kelab, yang kini antara yang paling berjaya di dunia,” kata PSG, sambil menambah, pendapatan pada 2011 sebelum pengambilalihan Qatari adalah sebanyak 99 juta euro.
“Sejak pemerolehan awal QSI pada 2011, penilaian PSG dan minat pelabur telah berkembang secara eksponen, mencerminkan transformasi kelab menjadi salah satu jenama sukan paling bernilai dan berpengaruh di dunia,” ujar mereka.
Jumlah perbelanjaan untuk gaji pemain juga berkurangan dengan ketara selepas pemergian bintang-bintang seperti Kylian Mbappe, Neymar dan Lionel Messi pada 2023 dan 2024, PSG menyatakan peratusan pendapatan yang dibelanjakan untuk gaji menurun daripada 111 peratus kepada kurang 65 peratus.
Namun begitu, potensi PSG untuk berkembang lebih jauh dilihat terhalang oleh konteks kewangan bola sepak Perancis serta saiz stadium mereka yang terhad.
Juara Perancis itu memperoleh ganjaran wang hadiah besar selepas memenangi Liga Juara-Juara dan berjaya ke final Piala Dunia Kelab, namun pendapatan siaran televisyen di Ligue 1 menurun susulan keruntuhan perjanjian TV domestik. – AFP

