PARIS, 2 FEB – Pemenang Piala Dunia, Lionel Messi meledak gol sementara Kylian Mbappe terlepas sepakan penalti dua kali sebelum mengalami kecederaan ketika Paris Saint-Germain (PSG) menang 3-1 di Montpellier untuk mendahului lima mata di puncak liga Perancis kelmarin.
Mbappe terjatuh sambil memegang kakinya tepat di bawah lutut kanan dan berjalan keluar pada minit ke-21, setelah terlepas sepakan penalti dua kali.
Jurulatih PSG, Christophe Galtier memberitahu penyiar Canal Plus, Mbappe mengalami kecederaan di kaki kanannya dan kemudian berkata pada sidang akhbar kecederaan itu tidak serius.
Bintang Argentina, Messi menyumbat gol kedua untuk PSG pada minit ke-72 selepas Fabian Ruiz meletakkan PSG di hadapan pada minit ke-55.
Penyerang Arnaud Nordin menjaringkan satu gol untuk pihak lawan pada minit ke-89 tetapi pemain gantian berusia 16 tahun, Warren Zaïre-Emery berjaya mencetak gol kemenangan untuk PSG pada masa kecederaan dengan gol pertamanya untuk kelab itu.
“Ia adalah gol pertama saya, jadi saya sangat gembira,” kata Zaire-Emery selepas menjadi penjaring termuda PSG.
Juara bertahan PSG berada lima mata di depan Marseille, yang menang 2-0 di Nantes, memperolehi satu mata di depan Lens yang berada di tempat kedua sekali gus menempah tempat dalam Liga Juara-Juara.
Lens tewas 1-0 menentang Nice setelah tewas buat pertama kali di tempat sendiri dan kedua secara keseluruhannya.
PSG akan mengunjungi Monaco dan Marseille bulan ini untuk perlawanan Piala Perancis, selain beraksi menentang Bayern Munich dalam perlawanan pertama pusingan 16 mereka dalam Liga Juara-Juara pada 14 Februari. – AP
