PARIS, 8 OGOS – Buat tahun kedua berturut-turut, Ballon d’Or 2025 bakal menyaksikan pemenang baharu selepas Rodri tidak tersenarai dalam senarai 30 calon yang diumumkan kelmarin, dengan Paris Saint-Germain (PSG) mendominasi pencalonan.
Pemain tengah Manchester City itu sebelum ini mengalami kecederaan ligamen lutut yang menamatkan musimnya, sekalipun berjaya memenangi anugerah Ballon d’Or 2024 pada Oktober lalu.
Pemenang lapan kali, Lionel Messi, yang kali terakhir memenanginya pada 2023, tidak tersenarai kali ini, begitu juga dengan Cristiano Ronaldo yang pernah memenangi lima kali.
PSG, yang menjuarai Liga Juara-juara Eropah dengan penuh bergaya, diwakili oleh sembilan pemain dalam senarai calon.
Barcelona, yang memenangi dua kejuaraan domestik iaitu La Liga dan Copa del Rey, diwakili oleh empat pemain termasuk pemain paling muda, Lamine Yamal yang baru mencecah usia 18 tahun, serta pemain tertua, Robert Lewandowski yang berusia 36 tahun.
Real Madrid, yang memboikot majlis anugerah tahun lalu kerana tidak berpuas hati Rodri dipilih mengatasi Vinicius, mendapat tiga pencalonan, termasuk pemain Brazil itu sendiri. – AFP


