PARIS, 28 APRIL – Peluang Paris Saint-Germain (PSG) untuk menewaskan Arsenal dan melangkah ke final Liga Juara-juara mungkin banyak bergantung kepada kemampuan Ousmane Dembele untuk mengembalikan sentuhan berbisa di hadapan gol seperti yang dipamerkan dalam tiga bulan pertama tahun ini.
Dembele, 27, menjaringkan 25 gol dalam 20 perlawanan dalam semua kejohanan untuk PSG dari pertengahan Disember hingga pertengahan Mac, susulan transformasi taktikal yang dilakukan pengendali Luis Enrique yang menukar peranan Dembele daripada pemain sayap kepada penyerang tengah.
Antara gol penting termasuk jaringan penting ke atas Liverpool di Anfield, yang membantu PSG memenangi aksi pusingan 16 terbaik Liga Juara-juara menerusi penentuan sepakan penalti.
Bagaimanapun, prestasinya mula merudum selepas menyertai tugasan antarabangsa bersama Perancis dan sejak kembali ke Paris, Dembele dilihat kehilangan sentuhan klinikal di depan gawang.
Bekas bintang Barcelona itu, yang sebelum ini terkenal sebagai pemain lincah tetapi sering tumpul di hadapan gol, hanya menjaringkan dua gol dalam tujuh penampilan terakhirnya di peringkat kelab.
Lebih mengecewakan, kedua-dua gol tersebut dijaringkan dalam kemenangan separuh akhir Piala Perancis menentang pasukan liga bawahan, Dunkerque, pada awal April lalu.
Namun begitu, Luis Enrique menegaskan dia tidak bimbang dengan penurunan prestasi jaringan Dembele dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini, malah mengetepikan dakwaan bahawa pemain bintangnya itu berasa kecewa dengan kemarau gol yang dialami. – AFP
