Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    PSG intai lebih banyak kejuaraan

    PARIS, 23 MEI – Paris Saint Germain (PSG) kini bersiap sedia menghadapi final Liga Juara-Juara menentang Inter Milan, namun terlebih dahulu mereka perlu menamatkan saingan domestik dengan berdepan Reims dalam aksi final Piala Perancis esok.

    Menjuarai kejohanan kelab paling berprestij di Eropah telah menjadi matlamat utama PSG sejak kelab itu diambil alih oleh Qatar Sports Investments hampir 15 tahun lalu.

    Segala pencapaian lain dianggap sebagai perkara kedua, lebih-lebih lagi kini apabila mereka hanya berjarak 90 minit sahaja dari menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sejarah kelab.

    Namun begitu, Luis Enrique sedar bahawa mempertahankan kejuaraan Piala Perancis dan seterusnya melengkapkan kejuaraan domestik musim ini, mampu meningkatkan keyakinan pasukannya menjelang pertemuan menentang Inter di Allianz Arena, Munich pada 31 Mei ini.

    “Sejujurnya, fokus saya adalah pada kedua-dua perlawanan, final Piala Perancis dan Liga Juara-Juara,” kata jurulatih dari Sepanyol itu pada minggu ini dalam satu sidang media di pusat latihan PSG yang dianjurkan khas untuk perlawanan akhir Eropah tersebut.

    “Perkara terbaik ialah kami tidak perlu melakukan persiapan luar biasa. Kami sampai ke tahap ini dengan bermain cara kami sendiri dan sekarang adalah masanya untuk menunjukkan sepenuhnya kekuatan sebenar kami.”

    Kemenangan ke atas Reims di Stade de France akan membolehkan PSG mengulangi pencapaian mereka musim lalu, iaitu memenangi kejuaraan liga dan piala domestik dalam musim pertama Enrique bersama kelab tersebut.

    Meskipun PSG belum pernah menjulang Liga Juara-Juara, mereka telah memenangi Piala Perancis sebanyak 15 kali satu rekod termasuk tujuh kali dalam tempoh 10 tahun terakhir.

    “Kami perlu fokus satu demi satu. Sebelum berfikir tentang Liga Juara-Juara, tumpuan kami kini adalah pada final Piala Perancis kerana setiap trofi itu penting,” kata Ousmane Dembele, penjaring terbanyak PSG musim ini dengan 33 gol dalam semua pertandingan. – AFP

    Pemain PSG semasa sesi latihan menjelang perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA di kem latihan kelab di Poissy pada 21 Mei. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda