PARIS, 10 APRIL – Khvicha Kvaratskhelia menjaringkan salah satu gol terbaik dalam Liga Juara-juara ketika Paris Saint-Germain (PSG) bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Aston Villa 3-1 dalam perlawanan pertama suku akhir mereka semalam.
Morgan Rogers memberikan Villa pendahuluan pada minit ke-35 di Parc des Princes yang mengejutkan penyokong tuan rumah, namun PSG segera menyamakan kedudukan menerusi jaringan cantik oleh Desire Doue.
Kvaratskhelia kemudian mencuri tumpuan dengan satu usaha menakjubkan pada minit ke-49, sebelum Nuno Mendes menambah gol ketiga yang penting pada masa kecederaan, memberikan PSG kelebihan dua gol menjelang perlawanan timbal balik di Birmingham Selasa depan.
Selepas menyingkirkan Liverpool di pusingan 16 terbaik, pasukan kendalian Luis Enrique kini berada dalam kedudukan yang sangat kukuh untuk mara ke separuh akhir buat musim kedua berturut-turut.
“Kami gembira dengan keputusan ini tetapi kami perlu terus berusaha kerana masih ada perlawanan kedua dan tugasan kami belum selesai,” kata Kvaratskhelia kepada penyiar Canal Plus, sebelum mengakui bahawa dia tidak mengingati secara jelas jaringannya yang dipuji ramai itu.
“Saya tidak mengingatinya dengan jelas, tetapi saya akan semak semula di bilik persalinan nanti untuk melihat sama ada ia benar-benar bagus.”
Villa, yang turut disokong Putera William dan anaknya George dalam kalangan penonton di Paris, perlu melakukan kebangkitan luar biasa di laman sendiri jika ingin mara ke separuh akhir kejohanan kelab elit Eropah buat kali pertama sejak mereka menjulang trofi itu pada tahun 1982.
Namun begitu, mereka mungkin boleh mengambil inspirasi daripada peristiwa kali terakhir jurulatih mereka, Unai Emery, bertemu Luis Enrique dalam Liga Juara-juara.
Pada tahun 2017, PSG kendalian Emery menewaskan Barcelona 4-0 di laman sendiri dalam perlawanan pertama pusingan 16 terbaik, namun kecundang 6-1 di Camp Nou kepada skuad Catalan pimpinan Luis Enrique. – AFP
