Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    PSG juara Piala Super UEFA

    UDINE, 14 OGOS – Juara Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) memulakan musim baharu de-ngan menambah koleksi trofi semalam apabila mereka menewaskan Tottenham Hotspur 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam Piala Super UEFA, selepas bangkit di lewat permainan untuk mengikat kedudukan 2-2.

    Tottenham kelihatan hampir memperoleh trofi dalam perlawanan kompetitif pertama di bawah kendalian jurulatih baharu, Thomas Frank, apabila mereka mendahului 2-0 sejurus selepas separuh masa di Stadium Friuli, Udine, Itali.

    Micky van de Ven membuka jaringan buat juara Liga Europa musim lalu pada minit ke-39 dan Cristian Romero menambah gol kedua tiga minit selepas babak kedua bermula.

    Namun, PSG diselamatkan oleh dua pemain gantian apabila Lee Kang-in merapatkan jurang pada minit ke-85 dan Goncalo Ramos menanduk masuk gol penyamaan empat minit dalam masa kecederaan.

    Perlawanan kemudian ditentukan melalui sepakan penalti, yang bermula kurang baik untuk PSG apabila sepakan pertama Vitinha tersasar.

    Penjaga gol PSG, Lucas Chevalier menyelamatkan sepakan penalti daripada Micky van de Ven, semasa penentuan sepakan penalti pada akhir perlawanan Piala Super UEFA 2025 antara PSG dan Tottenham di Stadium Friuli, Udine, pada 13 Ogos. – AFP

    Penjaga gol baharu PSG, Lucas Chevalier, seterusnya menyelamatkan sepakan Van de Ven manakala sepakan Mathys Tel pula tersasar, membuka peluang Nuno Mendes menyempurnakan penalti penentu kemenangan PSG.

    Dominic Solanke, Rodrigo Bentancur dan Pedro Porro semuanya berjaya menyempurnakan penalti untuk Spurs. Ramos, Ousmane Dembele dan Lee pula menyumbat masuk jaringan untuk PSG sebelum Mendes mengesahkan kemenangan.

    Ia merupakan kali pertama PSG, atau mana-mana kelab Perancis, menjulang Piala Super, sekali gus menjadikan jumlah trofi dimenangi mereka pada tahun 2025 kepada lima.

    “Saya bangga. Kami tidak mempunyai banyak masa persiapan, tetapi awda dapat lihat bahawa bola sepak bukan hanya mengenai aspek fizikal. Ia juga tentang aspek mental, berada pada kedudukan yang tepat, mempunyai taktikal yang betul,” kata kapten PSG, Marquinhos, kepada saluran Canal Plus.

    “Mereka (Tottenham) terlalu leka selepas mendahului 2-0 dan ia berbahaya kerana mengundang PSG untuk menyerang.”

    Ini adalah permulaan sempurna musim baharu untuk pasukan bimbingan Luis Enrique, yang mempunyai tempoh rehat pra-musim singkat selepas tewas di final Piala Kelab Dunia FIFA kepada Chelsea tepat sebulan lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda