PARIS, 12 FEB – Paris Saint-Germain kalah 3-1 dalam perlawanan kedua berturut-turut dalam semua pertandingan menentang Monaco dalam liga Perancis semalam, tiga hari sebelum berdepan Bayern Munich.
Monaco naik ke tempat ketiga, tujuh mata di belakang PSG, dengan pendahuluannya dipotong lima mata selepas pasukan tempat kedua Marseille menewaskan Clermont 2-0.
Tanpa kalah dalam semua pertandingan dari Ogos hingga Disember, PSG kini menjadi lemah.
Ia tewas kepada Lens dan Rennes dalam liga bulan lalu dan disingkirkan oleh Marseille pada pusingan 16 terakhir Piala Perancis pada Rabu lalu.
“Kami telah melepaskan banyak gol sejak permulaan musim ini,” kata jurulatih PSG, Christophe Galtier. “Kami mesti mencari semula keseimbangan kami, dan mempertahankan kedudukan,” tambahnya.
Lionel Messi dan Kylian Mbappe tidak beraksi disebabkan kecederaan tetapi Neymar tetap bermain.
Bayern akan bertandang pada Selasa ini untuk perlawanan pertama dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara.
Sementara itu, Wissam Ben Yedder menjaringkan dua gol untuk Monaco. Rembatannya yang disekat melantun semula kepada Aleksandr Golovin untuk mengatasi penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma pada minit keempat.
Ben Yedder menggandakan pendahuluan pada minit ke-18 apabila Monaco mengasak tinggi di padang. Krepin Diatta merampas bola daripada El Chadaille Bitshiabu dan Ben Yedder melancarkan serangan bersudut ke penjuru pintu gol. – AP
