Tuesday, April 22, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    PSG kekalkan rekod tanpa kalah di Ligue 1

    PARIS, 20 APRIL – Paris Saint-Germain (PSG) kekal dalam landasan untuk menamatkan musim Ligue 1 tanpa kalah setelah menewaskan Le Havre 2-1 semalam, sementara Marseille kembali menduduki tempat kedua dalam carta.

    Desire Doue dan Goncalo Ramos masing-masing menjaringkan gol untuk PSG pada kedua-dua separuh masa di Parc des Princes, dengan jurulatih Luis Enrique mengubah hampir keseluruhan kesebelasan utamanya selepas pertemuan Eropah dengan Aston Villa minggu lalu.

    PSG sudah pun menjamin gelaran Ligue 1 keempat berturut-turut sebelum perlawanan ini dan kemenangan liga berturut-turut yang ke-10 meninggalkan mereka 77 mata dengan lima perlawanan berbaki. Tiada pasukan yang pernah menamatkan kempen liga utama Perancis tanpa kalah.

    “Kami tahu perlawanan ini berpotensi menjadi halangan besar bagi kami selepas perlawanan Liga Juara-juara yang memerah semua tenaga kami dan membuatkan kami berasa letih,” kata Luis Enrique.

    “Semua elemen yang ada menunjukkan perlawanan ini sukar menentang pasukan yang memerlukan mata.”

    Achraf Hakimi dan Bradley Barcola adalah satu-satunya pemain yang mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama PSG, selepas kekalahan 3-2 di Aston Villa yang menyaksikan mereka layak ke separuh akhir Liga Juara-juara untuk bertemu Arsenal.

    Doue memberikan PSG mata pendahuluan pada minit kelapan dan Ramos menggandakan kedudukan pada separuh masa kedua dengan gol ke-15 musim ini. Issa Soumare merapatkan jurang untuk Le Havre, tetapi keputusan itu menyaksikan pasukan dari Normandy itu masih berada di tempat play-off penyingkiran. – AFP

    Goncalo Ramos melakukan rembatan untuk menjaringkan gol kedua PSG ketika diasak oleh Gautier Lloris, dalam perlawanan bola sepak Ligue 1 Perancis antara PSG dan Le Havre di Stadium Parc des Princes, Paris pada 19 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda