PARIS, 15 April – Dua minggu berturut-turut, Paris Saint-Germain terlepas peluang mengesahkan kejuaraan Ligue 1 keenam dalam tempoh tujuh tahun selepas dibelasah 5-1 oleh Lille, kekalahan terbesar mereka dalam liga sejak 10 tahun lalu.
Pasukan Thomas Tuchel seharusnya bergelar juara hujung minggu lalu dan menyamai rekod kejuaraan awal, tetapi gagal menewaskan Strasbourg dan mereka sekali lagi kecundang dalam usaha meraih hanya satu mata apabila terpaksa beraksi 10 orang untuk tempoh 54 minit dan kehilangan kapten Thiago Silva serta Thomas Meunier akibat kecederaan.
Kekalahan itu adalah paling buruk buat PSG di peringkat domestik sejak tewas 4-0 di Bordeaux pada tahun 2009, dan pertama kali mereka dibolosi lima gol dalam aksi liga sejak tewas 5-1 di Sedan pada tahun 2000.
Bagaimanapun mereka masih mendahului liga dengan kelebihan 17 mata ke atas Lille di tangga kedua, dan jika menang di Nantes Rabu ini mereka masih boleh memenangi liga dengan enam perlawanan berbaki.
“Kami akan menjadi juara, tetapi anda perlu tewas dengan cara betul,” kata Kylian Mbappe, yang dua golnya dibatalkan kerana ofsaid.
“Kita tidak boleh hilang karekter begitu saja, dan dibolosi tiga, empat, lima gol. Kalah itu biasa, tetapi ini bukan perkara normal.”
Pemenang Piala Dunia Mbappe menyaksikan golnya dibatalkan pengadil sebelum gol sendiri Meunier meletakkan Lille di depan selepas enam minit permainan.
Tetapi PSG seakan mampu mengesahkan kejuaraan selepas Juan Bernat menyamakan kedudukan dan Mbappe merobek gawang Lille pada minit ke-13, tetapi sekali lagi jaringannya dibatalkan.
Silva meninggalkan padang akibat kecederaan lutut dan Meunier turut dibawa keluar, Bernat kemudian dilayangkan kad merah pada minit ke-36 kerana mengasari Nicolas Pepe.
Pepe menjaringkan gol kedua Lille lima minit selepas babak kedua bersambung, dan Jonathan Bamba menambah jaringan 14 minit kemudian.
Tandukan Gabriel dan Jose Fonte dalam 20 minit terakhir melengkapkan kemenangan Lille dan meletakkan mereka lapan mata di depan Lyon di tempat ketiga. – AFP