Thursday, May 1, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    PSG raih kelebihan di Liga Juara-Juara

    LONDON, 30 APRIL – Paris Saint-Germain (PSG) meraih kelebihan dalam pertemuan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Arsenal apabila jaringan tunggal Ousmane Dembele memastikan kemenangan 1-0 pada aksi pertama, semalam.

    Dembele meledak gol seawal minit-minit awal perlawanan di Stadium Emirates dan pasukan kendalian Luis Enrique berjaya mempertahankan kelebihan itu dengan aksi berdisiplin yang mengekang asakan Arsenal. PSG kini bakal turun sebagai pasukan pilihan dalam aksi timbal balik di Parc des Princes pada 7 Mei nanti, untuk mara ke final menentang sama ada Barcelona atau Inter Milan dalam usaha memburu kejuaraan sulung Liga Juara-Juara.

    Namun, juara Perancis itu tidak boleh terlalu yakin memandangkan sejarah mereka yang penuh dengan kegagalan dramatik dalam saingan Eropah.

    Kekalahan pertama Arsenal dalam 18 perlawanan Eropah di laman sendiri merupakan tamparan hebat kepada harapan mereka menjulang trofi Liga Juara-Juara buat julung kalinya.

    Mikel Arteta sebelum ini menyifatkan kemaraan Arsenal ke separuh akhir sebagai satu ‘kisah indah’.

    Reaksi Ousmane Dembele (kanan) meraikan selepas menjaringkan gol pertama pasukannya dalam perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-juara UEFA menentang Arsenal di Stadium Emirates, London Utara, pada 29 April. – AFP

    Bab terakhir mungkin pahit untuk ditatap, namun perjuangan mereka masih belum berakhir.

    The Gunners sebelum ini menyingkirkan juara bertahan Real Madrid dengan agregat 5-1 untuk melangkah ke separuh akhir pertama sejak tewas kepada Manchester United pada 2009.

    Namun, mereka gagal mengulangi persembahan bertenaga seperti ketika membelasah Madrid 3-0 pada aksi pertama, meskipun suasana di stadium begitu hangat menjelang sepak mula.

    PSG sudah pun menyingkirkan juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool di pusingan 16 terbaik, serta Aston Villa di suku akhir dan sebelum itu bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Manchester City dalam peringkat kumpulan.

    Arsenal merupakan satu-satunya pasukan Inggeris yang belum mereka tundukkan musim ini, selepas tewas 2-0 di London Utara pada Oktober lalu.

    Namun, PSG ketika itu tidak diperkuatkan Dembele yang digantung atas alasan disiplin dan Luis Enrique menegaskan pasukannya kini ‘lebih lengkap’ berbanding tujuh bulan lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda