Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    PSG raih kemenangan saat akhir perlawanan

    PARIS, 2 OKT – Penyandang juara Paris Saint-Germain (PSG) bangkit untuk menewaskan Barcelona 2-1 hasil jaringan saat akhir dalam aksi Liga Juara-Juara, manakala Manchester City sekadar seri dengan Monaco, meskipun Erling Haaland berjaya memperoleh dua gol.

    Sementara itu, Arsenal dan Newcastle United turut mencatat kemenangan selesa, manakala Napoli dan Borussia Dortmund antara pasukan lain yang meraih tiga mata pada perlawanan kedua peringkat liga.

    Pertemuan di Montjuic antara juara Sepanyol dan juara bertahan Perancis serta Eropah itu menjadi antara aksi paling dinantikan dalam saingan musim ini.

    Barcelona mendahului pada minit ke-19 hasil gerakan kemas yang disudahkan oleh Ferran Torres selepas menerima hantaran daripada Marcus Rashford.

    Namun, Senny Mayulu menyamakan kedudukan buat PSG sebelum separuh masa, kemudian Achraf Hakimi mencipta bantuan gol untuk pemain gantian Goncalo Ramos yang berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90.

    “Ia satu perlawanan hebat antara dua pasukan yang benar-benar berkualiti,” kata jurulatih PSG, Luis Enrique. “Ia membuktikan kekuatan dan mentaliti pasukan kami, siapa sahaja yang diturunkan, kami tetap bermain sebagai satu pasukan sebenar.”

    Sementara itu, Haaland mencatat dua gol separuh masa pertama untuk mengumpul 52 gol sepanjang 50 penampilan Liga Juara-Juara, namun City diikat 2-2 di Monaco.

    Jaringan menakjubkan Jordan Teze menyamakan kedudukan, sebelum Monaco memperoleh penalti lewat perlawanan selepas semakan VAR mendapati Nico Gonzalez melakukan terjahan tinggi ke atas Eric Dier.

    Dier sendiri menyempurnakan sepakan penalti itu, sekali gus menghadiahkan Monaco mata sulung dan menggagalkan City daripada mencatat kemenangan kedua berturut-turut.

    “Saya tidak pasti sama ada ia penalti, tapi pengadil memberikannya. Jadi kita terima sahaja,” kata pengurus City, Pep Guardiola. – AFP

    Aksi Nuno Mendes (kiri) dan Daniel Olmo bersaing merebut bola semasa perlawanan Liga Juara-Juara UEFA di Barcelona, Sepanyol pada 1 Oktober. – AP
    Penyandang juara Paris Saint-Germain (PSG) bangkit untuk menewaskan Barcelona hasil jaringan saat akhir dalam aksi Liga Juara-Juara. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda