PARIS, 6 APRIL – Paris Saint-Germain (PSG) merangkul kejuaraan Ligue 1 musim ini selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 di laman sendiri ke atas Angers semalam, ketika mereka bersiap untuk pertembungan suku akhir Liga Juara-Juara menentang Aston Villa.
PSG hanya memerlukan keputusan seri di hadapan penyokong sendiri untuk mengesahkan kejuaraan, setelah memulakan saingan dengan kelebihan 21 mata di hadapan pencabar terdekat, Monaco, dengan baki tujuh perlawanan.
Jaringan Desire Doue pada awal babak kedua sudah memadai untuk memberikan tiga mata penuh kepada pasukan bimbingan Luis Enrique, sekali gus menjulang gelaran liga ketika masih berbaki enam perlawanan.
Ia merupakan kejuaraan Ligue 1 keempat berturut-turut buat kelab dari ibu negara Perancis itu, dan yang ke-11 dalam tempoh 13 musim terakhir – membuktikan dominasi mutlak mereka di peringkat domestik sejak diambil alih oleh Qatar Sports Investments pada tahun 2011.
“Cita-cita kami adalah untuk menang segalanya,” kata kapten pasukan, Marquinhos, kepada saluran beIN Sports. Pemain pertahanan dari Brazil itu telah memenangi 10 kejuaraan sejak menyertai PSG pada tahun 2013.

“Ia satu perasaan yang indah. Ini ganjaran atas usaha keras sepanjang musim, atas konsistensi kami. Pasukan ini memang layak.”
Marquinhos bagaimanapun akan digantung untuk aksi pertama menentang Aston Villa.
Secara keseluruhan, PSG kini memiliki 13 kejuaraan liga Perancis – tiga lebih banyak daripada Saint-Etienne yang memenangi 10 gelaran tetapi kali terakhir muncul juara pada tahun 1981. Marseille pula memiliki sembilan kejuaraan, manakala Nantes dan Monaco masing-masing lapan kali.
Memenangi liga Perancis telah menjadi sambutan rutin nuat pasukan Paris dalam cuaca cerah musim bunga di Paris. Namun, Luis Enrique tetap diraikan apabila diangkat oleh barisan kejurulatihannya, sementara para pemain PSG meraikan kejayaan mereka dengan melakukan pusingan di atas padang Parc des Princes.
Majlis penyerahan trofi akan diadakan pada tarikh yang akan diumumkan kelak, dengan PSG kini menumpukan perhatian kepada saingan Eropah – Aston Villa akan bertandang ke Parc des Princes bagi aksi pertama suku akhir pada Rabu ini, sebelum aksi timbal balik di England pada 15 April.
PSG juga mempunyai satu lagi sasaran dalam saingan liga — sesuatu yang akan menjadikan kejayaan musim ini lebih bermakna. Mereka masih belum tewas selepas 28 perlawanan, dengan 23 kemenangan dan lima seri, serta berada di landasan untuk muncul pasukan pertama yang menamatkan kempen Ligue 1 tanpa sebarang kekalahan. – AFP