LYON, 2 April – Bintang Argentina, Angel Di Maria menjaringkan satu gol dan mencipta dua umpanan gol ketika Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Monaco 4-1, sekali gus menjulang kejuaraan Piala Liga Perancis buat kali keempat berturut-turut, awal pagi tadi.
Julian Draxler meletakkan PSG di depan ketika perlawanan baru berlangsung empat minit dalam aksi final di Lyon, tetapi Thomas Lemar menyamakan kedudukan untuk Monaco pada minit ke-27.
Di Maria memulakan dominasi skuad bimbingan Unai Emery apabila menjaringkan gol kedua PSG ketika saingan separuh masa pertama berbaki seminit. Jaringan itu diikuti dua penyudah oleh Edinson Cavani di separuh masa kedua perlawanan termasuk pada minit akhir yang mengesahkan gelaran ketujuh buat PSG.
“Kami berdepan detik sukar, tetapi kami tidak pernah berputus asa. Kami membuktikannya sebagai pasukan yang hebat. Saya rasa, kami layak untuk menang dan meraikannya.
“Dalam tempoh empat tahun, kami sudah menang semua gelaran. Kami pasukan yang hebat dan kemenangan ini adalah hadiah kepada semua yang terbabit. – AFP
