PARIS, 1 Mei – Mario Balotelli menjaringkan golnya yang ke-14 dalam liga musim ini dan Ricardo Pereira menghasilkan satu jaringan menakjubkan ketika Nice memberikan satu tamparan hebat ke atas usaha Paris Saint-Germain untuk mempertahankan gelaran juara Perancis setelah menang 3-1 awal pagi tadi.
PSG yang memburu tiga gelaran domestik musim ini telah mengakhiri hujung minggu dengan ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Ligue 1, Monaco, yang juga mempunyai kelebihan satu perlawanan, dan telah menyaksikan PSG bermain dengan sembilan pemain di Nice selepas dua pemain mereka dibuang padang dalam dua insiden.
Nice, yang masih belum dikalahkan di gelanggang sendiri musim ini, kekal berada di tangga ketiga tetapi hanya tiga mata di belakang PSG dan kedua-duanya mempunyai baki tiga perlawanan lagi yang perlu diharungi.
Balotelli, kembali dalam kesebelasan utama Nice selepas siri kecederaan dan penggantungan, gagal memanfaatkan peluang dari jarak dekat pada minit ke-20 selepas perangkap ofsaid PSG gagal.
Dia sepatutnya melakukan lebih baik dan enam minit kemudian dia berjaya melakukannya, mengetepikan satu cabaran lemah sebelum membuat rembatan di luar petak yang menerjah sudut bawah gawang.

PSG kendalian Unai Emery, yang mengharungi rentetan perlawanan tanpa kalah sejak tersingkir daripada Liga Juara-Juara di Barcelona awal bulan lepas, menikmati penguasaan bola di separuh masa pertama namun gagal memecahkan kebuntuan.
Jika jaringan Balotelli hebat, jaringan Pereira selepas separuh masa kedua disambung lebih hebat apabila pemain sayap Portugal itu melencongkan bola ke sudut atas gawang.
Juara bertahan PSG mula kehilangan arah, namun berjaya mendapat nafas baru apabila pemain pertahanan Marquinhos menanduk masuk bola hasil sepakan sudut pada minit ke-64.
Namun Nice memuktamadkan perlawanan dengan menjadikan kedudukan 3-1 hasil tandukan jarak dekat Anastasios Donis. – AFP