Tuesday, July 15, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    PSG telah capai ‘matlamat utama’ – Luis Enrique

    MUNICH, 1 JUN – Jurulatih Paris Saint-Germain, Luis Enrique berkata dia dan kelabnya telah mencapai ‘matlamat muktamad’ mereka dengan memenangi Liga Juara-Juara selepas membelasah Inter Milan 5-0.

    Sejak kelab diambil alih oleh Qatar pada 2011, PSG menang 11 daripada 13 gelaran Perancis tetapi hadiah utama yang melibatkan perbelanjaan besar pasukan tersebut sentiasa gagal digenggam mereka.

    Namun, kali ini PSG berjaya menjulangnya setelah menghiris Inter di Allianz Arena kelmarin.

    Luis Enrique, yang memenangi Liga Juara-Juara ketika menerajui Barcelona di Berlin pada 2015, berkata dia meletakkan sasarannya untuk gelaran juara Eropah sejak mengambil alih tugas tersebut di ibu negara Perancis itu pada 2023.

    “Pada hari pertama saya di kampus PSG, bahasa Perancis saya lebih teruk daripada hari ini. Tetapi saya berkata matlamat utama saya sebagai jurulatih adalah untuk mengisi kabinet trofi,” kata jurulatih dari Sepanyol itu.

    “Satu-satunya trofi yang hilang ialah Liga Juara-Juara.. Kami bercita-cita tinggi dan kami berjaya mencapainta. Ia (trofi) sudah ada dalam beg dan akan dibawa pulang bersama kami esok.”

    Jurulatih tersebut memilih penyerang Ousmane Dembele untuk diberi pujian istimewa, memanggilnya ‘luar biasa’ dan berkata, “dia layak memenangi Ballon d’Or.”

    Jurulatih itu juga memberi penghormatan kepada anak perempuannya Xana yang meninggal dunia akibat kanser pada 2019 pada usia sembilan tahun.

    Selepas wisel sepenuh masa, peminat PSG membentangkan sepanduk yang menggambarkan bapa dan anak perempuan menanam bendera PSG ke dalam tanah, sama seperti yang telah dilakukan dengan bendera Barcelona di Berlin sedekad lalu.

    “Ia saat yang penuh emosi. Sungguh indah apabila penyokong memikirkan saya dan keluarga saya. Tetapi saya tidak perlu memenangi Liga Juara-Juara malah satu perlawanan untuk memikirkan tentang anak perempuan saya,” kata Luis Enrique.

    “Dia sentiasa bersama saya. Dia menyokong saya, dan keluarga kami, dan saya merasakan kehadirannya.” – AFP

    Luis Enrique (kanan) bersama keluargabergambar bersama trofi Liga Juara-Juara UEFA yang dimenangi kelmarin. – AFP
    Kapten PSG, Marquinhos menjulang trofi bersama rakan sepasukan di Munich kelmarin. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda