PARIS, 9 MAC – Ousmane Dembele menjaringkan dua gol ketika Paris Saint-Germain (PSG) bersiap sedia untuk perlawanan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara menentang Liverpoolapabila menang 4-1 ke atas Rennes dalam saingan Ligue 1 semalam.
Dengan skuad yang banyak berubah, PSG tetap tampil garang di Brittany apabila Bradley Barcola dan Gonçalo Ramos meletakkan pasukan pelawat mendahului 2-0 sebelum Lilian Brassier merapatkan jurang untuk Rennes. Namun, Dembele melebur segala harapan tuan rumah dengan dua gol pada masa kecederaan, memastikan kemenangan selesa buat PSG.
Keputusan itu membolehkan PSG mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan domestik musim ini.
Pasukan kendalian Luis Enrique kini selesa di puncak Ligue 1 dengan kelebihan 16 mata, selepas pencabar terdekat mereka, Marseille, tewas 1-0 di laman sendiri kepada Lens pada malam yang sama.
Enrique melakukan lapan perubahan dalam kesebelasan utamanya berbanding perlawanan pertama menentang Liverpool, namun PSG tetap berjaya mengawal permainan dan meraih kemenangan meyakinkan menjelang aksi penentuan di Anfield pada Selasa.
“Kami berada dalam keadaan terbaik untuk berdepan Liverpool. Kami tiada apa untuk kalah dan akan memberikan segala-galanya demi layak ke suku akhir,” kata Luis Enrique. “Ia perlawanan yang sukar, tetapi kami memberikan persembahan yang serius dan ini memberi kami banyak harapan sebelum bertandang ke Liverpool,” tambah jurulatih Sepanyol itu. – AFP
