Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    PSG tundukkan Reds

    PARIS, 29 Nov – Neymar beraksi mantap dengan mencetak gol kemenangan ketika Paris Saint-Germain (PSG) menarik nafas lega dalam kempen Liga Juara-Juara dengan kemenangan 2-1 ke atas Liverpool awal pagi tadi, sekali gus meninggalkan pasukan tangga kedua musim lalu itu menghampiri penyingkiran lebih awal.

    Juan Bernat dan Neymar menjaringkan gol untuk memastikan PSG mengawal perlawanan pada separuh masa pertama di ibu negara Perancis, tetapi sepakan penalti James Milner pada akhir separuh masa pertama cuba membangkitkan semangat para pemain Reds.

    PSG hanya memenangi dua dari tujuh perlawanan lalu mereka sebelum perlawanan itu. Bagaimana pun, pasukan kendalian Jurgen Klopp jelas disaingi pada peringkat awal di Parc des Princes.

    Angel di Maria yang mencuba sepakan jarak jauh menerusi voli kencang telah memaksa Alisson bertindak untuk menepis bola, sebelum Paris berada di depan pada minit ke-13.

    Mbappe cuba untuk memberikan umpanan bagi Edinson Cavani, tetapi bola tepat ke arah Bernat, dan pemain Sepanyol itu meledak gol menerusi tendangan kaki kanan bagi gol keduanya musim ini.

    Neymar (bawah tengah) yang memakai jersi penjaga gawang Reds, Becker, bersama rakan sepasukannya ketika meraikan kemenangan PSG selepas menundukkan Reds 2-1 di Parc des Princes, kelmarin. – AFP

    Marco Verratti menguasai permainan di bahagian tengah, walaupun pemain dari Itali itu bernasib baik tidak diarah meninggalkan padang kerana melakukan kekasaran ke atas Joe Gomez pada pertengahan separuh masa pertama.

    PSG terselamat dan menggandakan pendahuluan mereka menerusi Neymar yang baru pulih daripada kecederaan.

    Pemain termahal dunia itu menarik faul dari pasukan lawan dan memberikan semangat kepada penyokong tuan rumah sebelum membuat hantaran ke sisi kiri kepada Mbappe.

    Pemenang Piala Dunia dari Perancis itu pula membuat hantaran lintang bagi Cavani, yang menyaksikan usahanya diselamatkan oleh Alisson, tetapi Neymar menyusul untuk membuat sepakan leret ke sisi kanan gawang Reds.

    Jaringan itu seharusnya memastikan keselesaan bagi tuan rumah pada waktu rehat, tetapi Reds kembali memberikan saingan pada akhir separuh masa pertama. Di Maria telah menjatuhkan Sadio Mane di dalam kawasan kotak penalti. Pengadil Poland, Szymon Marciniak pada mulanya tidak memberi sepakan penalti itu tetapi kemudian mengubah fikirannya, dan Milner berjaya menyempurnakan sepakan itu menembusi gawang penjaga gol PSG, Gianluigi Buffon dari jarak 12 ela.

    “Ini adalah peluang terakhir kami untuk menunjukkan bahawa kami mampu bersaing dengan pasukan seperti Liverpool, satu pasukan yang mempunyai mentaliti yang luar biasa,” kata jurulatih PSG, Thomas Tuchel.

    “Semua orang sudah bersedia untuk bertempur antara satu sama lain. Perkara itu sangat diperlukan untuk menentang Liverpool dan ia merupakan satu langkah besar buat kami.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda