Wednesday, July 16, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    PSKKS kunjungi tempat menarik di Brunei

    Oleh Ampuan Irma Susanti

    TEMBURONG, 3 Mac – Seramai 25 orang ahli dari Persatuan Sukarelawan Kanser dan Kemasyarakatan Sipitang, Sabah (PSKKS), yang terdiri daripada belia dan warga emas, membuat lawatan sambil belajar ke Negara Brunei Darussalam termasuk di Daerah Temburong.

    Salah satu lokasi yang menjadi tempat kunjungan rombongan tersebut di Daerah Temburong ialah Stesen Radio Televisyen Brunei (RTB), di mana rombongan berpeluang untuk meninjau secara lebih dekat arena penyiaran dalam rancangan Rampai Pagi televisyen dan radio sebagai produk stesen ini.

    Ketibaan rombongan yang diketuai oleh presiden persatuan tersebut, Helen Morris dialu-alukan oleh Pengurus Stesen RTB Temburong, Haji Muzni bin Haji Anuar dan pegawai serta kakitangan stesen berkenaan.

    Semasa lawatan tersebut, rombongan tersebut diberikan taklimat daripada pengurus stesen berkenaan dan seterusnya dibawa melawat ke studio televisyen dan radio.

    Rombongan kemudiannya dibawa untuk menyaksikan lintas langsung siaran Rampai Pagi dari Daerah Temburong.

    Haji Muzni ketika menerima cenderahati daripada Helen.

    Rombongan tersebut turut diberi peluang untuk mempersembahkan sebuah lagu tema persatuan tersebut sebagai pembangkit semangat untuk para pesakit kanser semasa di stesen berkenaan. Acara diakhiri dengan penyampaian cenderahati dari rombongan PSKKS yang disampaikan oleh Helen Morris kepada Haji Muzni.

    PSKKS merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bukan berasaskan keuntungan dan ditubuhkan pada 22 November 2017 dari Register Of Society Malaysia (ROS).

    Pertubuhan itu diwujudkan bagi membantu para pesakit kanser dengan menganjurkan bengkel kesihatan, lawatan pesakit luar dan program-program kesedaran penyakit kanser di dalam dan luar negeri Sabah. Setakat ini, pertubuhan itu mempunyai kira-kira 300 orang ahli bagi wilayah Sipitang.

    Helen ketika ditemu bual menyatakan bahawa lawatan tiga hari ini bertujuan untuk bertukar fikiran dan menimba pengalaman, di samping dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat luar untuk terus memberikan perhatian dan semangat kepada pesakit kanser agar mereka dapat meneruskan hidup mereka seperti individu biasa.

    Rombongan akan meneruskan lawatan ke beberapa tempat menarik di negara ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda