Wednesday, May 1, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    PSM akan bekerja rapat dalam penerimaan rumput hibrid untuk SNBJ

    KUALA LUMPUR, 17 APRIL – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan bekerja rapat dengan pengurusan Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos di Larkin dalam proses penerimaan rumput hibrid bagi Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

    PSM dalam kenyataan kelmarin memaklumkan ia susulan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bersetuju untuk mendermakan rumput jenis hibrid bagi kegunaan padang SNBJ selepas perjumpaan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor John.

    “PSM menyembah takzim dan menjunjung kasih atas kurniaan Tunku Ismail serta menyatakan iltizam untuk terus komited bagi menguruskan sebuah padang pelbagai guna yang berdaya tahan dan fleksibel untuk acara sukan dan bukan sukan.

    “PSM sekali lagi menyatakan rasa sukacita yang tidak terhingga dan menjunjung tinggi kurniaan berpanjangan serta pertimbangan dan kebijaksanaan Tunku dalam menasihati PSM dalam mendepani segala cabaran mendatang,” menurut kenyataan itu.

    Menurut hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Facebook JOHOR Southern Tigers baru-baru ini, Tunku Ismail bersetuju dengan sumbangan itu selepas kaji selidik yang dijalankan di padang SNBJ telah menunjukkan bahawa rumput hibrid lebih memenuhi keperluan stadium pelbagai guna kerana ketahanan dan fleksibilitinya untuk pelbagai acara.

    Ia turut didorong oleh kejayaan penyelidikan yang dijalankan oleh kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos.

    Sementara itu, rumput Zeon Zoysia yang didermakan oleh Tunku Ismail kepada SNBJ sebelum ini, akan dibuka dan dipasang di padang Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangladesh catat suhu paling panas bulan April

    DHAKA, 1 MEI - Biro cuaca Bangladesh berkata hari ini bahawa bulan lalu merupakan bulan paling panas dalam rekod, dengan negara Asia Selatan dan...