MADRID, 23 JULAI – Dalam pilihan raya awal Sepanyol, kerajaan berhaluan kiri pimpinan Perdana Menteri Pedro Sanchez berisiko kehilangan majoriti hari ini, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Menurut kajian, parti konservatif Parti Rakyat (PP) berkemungkinan besar memenangi pilihan raya terbabit meskipun tidak memperoleh majoriti mutlak.
Pemimpin pembangkang konservatif, Alberto Nunez Feijoo, dilihat perlu membentuk kerajaan dengan bantuan parti populis sayap kanan, Vox.
Parti konservatif Sepanyol tidak menolak untuk bekerjasama dengan parti populis sayap kanan dan sebelum ini telah membentuk kerajaan bersama Vox di peringkat negeri.
Dalam pilihan raya peringkat negeri dan tempatan pada 28 Mei, Parti Pekerja Sosialis (PSOE) Sanchez dan parti-parti berhaluan kiri mengalami kekalahan yang tidak dijangka. – Bernama


