Thursday, December 26, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Psoriasis: penyakit yang sering disalah anggap

    KUALA LUMPUR – Psoriasis memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental penghidap disebabkan pelbagai komplikasi yang turut dialami termasuk artritis, hipertensi, diabetes mellitus, penyakit jantung dan kemurungan.

    Menurut Atlas Psoriasis Global, psoriasis ialah keadaan kulit kronik yang disebabkan oleh tindak balas imun badan yang tidak normal dan dihidapi oleh hampir dua hingga tiga peratus penduduk global dan lebih 60 juta di seluruh dunia.

    Pakar Perunding Dermatologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Sharifah Rosniza Syed Nong Chek berkata psoriasis bukan sekadar penyakit kulit, tetapi penyakit autoimun dengan sel-sel tertentu dalam sistem imun mencetuskan kulit untuk menghasilkan sel baharu pada kadar yang terlalu cepat.

    “Lazimnya, sel kulit dijana semula setiap 30 hari, tetapi bagi psoriasis, kitaran ini boleh berlaku sepantas tiga hingga lima hari sehingga menyebabkan sel kulit baharu yang berlebihan membina plak tebal dan bersisik di tubuh pesakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dr Sharifah Rosniza berkata di Malaysia, jenis psoriasis yang paling lazim ialah psoriasis plak iaitu melibatkan lebih 80 peratus kes.

    Ruam yang disebabkan oleh psoriasis biasanya terjadi pada kawasan seperti kulit kepala, siku, lutut, dan bahagian bawah belakang. – Freepik
    Gejala-gejala psoriasis sering membawa stigma sosial dan tekanan emosi, rasa rendah diri, kebimbangan dan kemurungan. – Freepik
    Sokongan daripada ahli keluarga penting untuk membantu menepis stigma dan maklumat yang salah, selain persekitaran positif perlu diwujudkan untuk menyokong pesakit. – Freepik

    “Secara umumnya, pesakit akan mengalami ruam merah yang kebiasaannya hadir dengan sisik tebal dan berwarna seakan-akan perak. Ruam ini biasanya terjadi pada kawasan seperti kulit kepala, siku, lutut, dan bahagian bawah belakang,” katanya dan menambah gejala ini sering membawa stigma sosial dan tekanan emosi, rasa rendah diri, kebimbangan dan kemurungan.

    Beliau berkata kemunculan ruam terutama di kawasan yang mudah kelihatan seperti kulit kepala dan muka, agak memalukan, dan pesakit juga sering mengadu gatal-gatal yang kadang-kadang cukup teruk sehingga mengganggu tidur manakala kulit boleh sakit disebabkan oleh rekahan yang terbentuk pada ruam tebal.

    Dr Sharifah Rosniza berkata salah tanggapan yang paling kerap didengar ialah psoriasis boleh berjangkit, walhal ia tidak benar sama sekali, justeru kurangnya kesedaran awam menjadi sebahagian punca pesakit terasing dan disalah faham.

    “Penyakit kulit seperti psoriasis sering dikaitkan dengan kurangnya penjagaan kebersihan sehingga menyebabkan pesakit mengalami diskriminasi dan pengasingan sosial,” katanya.

    Beliau berkata satu lagi tanggapan salah ialah psoriasis boleh disembuhkan, walaupun tiada ubat boleh menyembuhkan psoriasis, namun penyakit ini boleh diuruskan dengan berkesan dan rawatan bertujuan mengawal gejala serta menguruskan ruam yang timbul sehingga kulit boleh kelihatan normal.

    Dr Sharifah Rosniza berkata diagnosis awal dan rawatan yang konsisten adalah penting dalam menguruskan psoriasis dan mencegah komplikasinya, seperti artritis psoriatik iaitu penyakit radang sendi yang menjejaskan hingga 30 peratus pesakit psoriasis, dan jika tidak dirawat boleh menyebabkan kerosakan sendi dan ketidakupayaan.

    Psoriasis juga katanya, dikaitkan dengan obesiti dan boleh mengakibatkan sindrom metabolik seperti hipertensi, diabetes mellitus dan kolesterol tinggi.

    Beliau berkata pendidikan tentang psoriasis dan sokongan daripada ahli keluarga penting untuk membantu menepis stigma dan maklumat yang salah, selain persekitaran positif perlu diwujudkan untuk menyokong pesakit.

    “Pengamal penjagaan kesihatan profesional juga memainkan peranan penting dalam menawarkan pendidikan dan sokongan kepada pesakit dan orang tersayang terutamanya dalam mempelajari tentang penyakit ini, mengenal pasti dan mencegah pencetus bagi psoriasis serta menolak pelbagai salah tanggapan mengenai penyakit ini.

    “Hidup dengan psoriasis adalah mencabar, tetapi dengan peningkatan kesedaran, diagnosis awal dan rawatan yang konsisten, pesakit dapat meningkatkan kualiti hidup mereka dengan ketara,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda