PARIS, 31 OGOS – Ismael Saibari menyumbat dua gol ketika membantu PSV Eindhoven membelasah Rangers 5-1 semalam sekali gus menempah tiket ke undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.
Luuk de Jong, Joey Veerman dan gol sendiri Connor Goldson semuanya menyumbang kepada malam menyedihkan buat kelab Scotland itu yang tewas 7-3 secara agregat dan kini hanya beraksi dalam Liga Europa.
Pada majlis undian Liga Juara-Juara malam ini, PSV akan disertai jiran dari Belgium, Royal Antwerp yang menyingkirkan AEK Athens dan FC Copenhagen yang mengatasi kelab Poland, Rakow.
Selepas seri 2-2 di Glasgow minggu lalu, PSV pantas menguasai aksi timbal balik dengan Saibari membuka jaringan pada minit ke-35 apabila menanduk masuk hantaran silang Veerman melepasi penjaga gol Jack Butland.
Selepas lapan minit babak kedua berlangsung, Saibari menambah gol keduanya, menampan masuk selepas De Jong melakukan hantaran leret di depan pintu gol.
Rangers membalas satu gol menerusi kapten James Tavernier tetapi ketika peminat mereka masih meraikan gol itu, De Jong meledak gol ketiga PSV, diikuti gol keempat Veerman dan gol sendiri Goldson yang menghancurkan impian mereka kali ini.
“Ia terlalu sukar untuk diterima,” kata Tavernier kepada TNT Sports.
“Kami sedar betapa besarnya makna kepada peminat dan kelab namun keputusan ini jelas mengecewakan.
“Kami bolos terlalu banyak gol. Gol yang kami lepaskan terlalu teruk. Kami beraksi dalam Liga Europa sekarang, kami perlu menumpukan perhatian penuh kepadanya.” – AFP