Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    PSW salur sumbangan persediaan persekolahan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN 1 JAN – Seramai 30 orang terdiri daripada 11 orang anak yatim dan 19 orang anak dari golongan yang memerlukan telah menerima sumbangan baucar pembelian keperluan persekolahan dalam Majlis Penyampaian Projek Kotak Kutipan Drop Box Kembali ke Sekolah bagi tahun 2023, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat menyampaikan baucar pada majlis yang berlangsung di Kelab Glof RBA ialah Yang Dipertua Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam (PSW), Hajah Dayang Hassanah binti Haji Awang Hassan.

    Pada majlis itu, PSW telah menyampaikan sumbangan melalui Tabung Selamatkan Anak-anak Kitani PSW yang dikutip daripada ahli-ahli, sahabat dan keluarga PSW.

    Kanak-kanak berkenaan turut menerima sumbangan daripada JB Travel Agency Sdn Bhd yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Umrah, Awang Bolfadillah bin Bolghanikan, Aura Seri Bonda & Enterprise, Ketua Kampung Kawasan 2 berserta keluarga dan sahabat, serta penyumbang lainnya.

    Aktiviti projek amal berkenaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan membantu keluarga anak-anak yatim dan anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan sekali gus dapat membantu pihak kerajaan dalam sama-sama memeduli akan nasib mereka dalam membuat persediaan musim persekolahan 2024.

    Turut hadir menyaksikan penyampaian sumbangan itu ialah Pemangku Penghulu Mukim Mentiri, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Haji Ibrahim dan Ketua Kampung Kawasan 2 RPN Kampung Panchor Mentiri, Haji Awang Mohd Eddie bin Haji Awang Ibrahim.

    Majlis berkenaan dianjurkan oleh Jawatankuasa RPN Kampung Panchor Kawasan 2 Mukim Mentiri dengan kerjasama PSW.

    Gambar ramai anak-anak yatim dan kanak-kanak yang kurang berkemampuan bersama tetamu kehormat semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda