Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Syarikat PTES JA dari Pusat Tingkatan Enam (PTE) Sengkurong muncul juara bagi Pertandingan JA Company of The Year sekali gus akan mewakili Negara Brunei Darussalam ke Pertandingan Asia Pacific JA Company of the Year yang akan berlangsung di Beijing, China pada Februari 2018, nanti.
Pusingan akhir bagi menentukan juara Pertandingan Tahunan JA Company of The Year berkenaan telah berlangsung di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Kampung Anggerek Desa, hari ini.
Dalam pusingan akhir pertandingan itu, tiga pasukan dari tiga buah sekolah menengah atas iaitu Syarikat PTES JA dari PTE Sengkurong, Bruzece & Co dari PTE Tutong dan The Little Cove dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains), membentangkan mengenai pengalaman dan projek perniagaan mereka di hadapan panel hakim.
Panel-panel hakim terdiri daripada Ketua Perbankan Runcit dan Rangkaian Cawangan, Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha, Pengasas Bersama, Rakan Kongsi Bersama dan Jurulatih Keusahawanan Start-up Hub BIMP-EAGA di iCentre, Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff dan Penasihat Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Brunei Darussalam dan Pengetua Mentor Program Inisiatif Belia dan Kotej di iCentre, Kapten (B) Zailan bin Pehin Dato Mohd Don.
Dalam pertandingan itu, pembentangan, keyakinan dan semangat berpasukan yang ditonjolkan oleh Syarikat PTES JA dari PTE Sengkurong yang mengetengahkan produk pelekat yang mempunyai mesej kesedaran, mendapat pujian daripada panel hakim serta dinobatkan sebagai juara pertandingan.
Sementara itu, Pasukan Bruzece & Co dari PTE Tutong berada di tempat kedua dan The Little Cove dari Maktab Sains pula berada di tempat ketiga.
Pertandingan itu bukannya hanya sebuah pertandingan perniagaan bagi usahawan pelajar muda tetapi ia bermatlamat untuk mengimbangkan perkembangan perniagaan mereka dengan pembangunan peribadi setiap ahli pasukan di dalam syarikat pelajar berkenaan.
Oleh itu, bagi sesebuah pasukan untuk memenangi pertandingan itu, ia bukannya hanya melihat kepada kejayaan syarikat dari segi keuntungan sahaja tetapi harus melihat kepada hasil produk atau perkhidmatan yang ditawarkan yang inovatif serta menarik.
Pada masa yang sama, ahli-ahli syarikat pelajar JA yang bertanding juga harus menunjukkan bahawa mereka mempunyai kefahaman mengenai dengan syarikat serta sebab bagi prestasi syarikat berkenaan.