Thursday, February 6, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    PTET anjur program hala tuju

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Sokongan dan komunikasi di antara ibu bapa dan penjaga bersama dengan anak-anak mereka adalah penting dalam mengukuhkan silaturahim di antara mereka.

    Dalam hubungan itu, Jabatan Pentadbiran dan Kaunseling Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) telah menganjurkan program hala tuju untuk pelajar U6, 2023 di mana ibu bapa dan penjaga para pelajar telah dijemput untuk menghadiri program yang diadakan di PTET, baru-baru ini.

    Program yang berlangsung selama tiga hari berkenaan, bertujuan untuk mengeratkan hubungan ibu bapa dan penjaga dengan jabatan pentadbiran sekolah dalam sama-sama mencapai kecemerlangan penuntut.

    Program juga menyediakan maklumat mengenai tarikh peperiksaan dan program sokongan sekolah bagi penuntut yang akan menduduki peperiksaan As dan A Level Oktober/November bagi 2023 serta memberi cadangan kepada ibu bapa dan penjaga mengenai prospek A Level anak-anak mereka.

    Pada program berkenaan, Pemangku Pengetua, Awang Mohammad Shanofazli bin Haji Sabli telah menyampaikan ucapan alu-aluannya dengan pembentang bagi program berkenaan ialah Timbalan Pengetua Akademik, Koo Keung Eng dan Kaunselor PTET, Dayang Norhaslinda binti Haji Adnan.

    Semasa pembentangannya, Dayang Norhaslinda menekankan pentingnya sokongan dan komunikasi antara ibu bapa dan penjaga dengan anak-anak mereka dalam mengukuhkan hubungan silaturahim serta memastikan anak-anak mereka mempunyai motivasi dalam akademik terutamanya semasa sesi peperiksaan.

    Semasa program berkenaan, ibu bapa dan penjaga telah dialu-alukan untuk menulis mengenai rasa bimbang dan harapan mereka untuk anak-anak mereka, berkongsi sumbang saran pendapat serta membincangkan bagaimana untuk mengekalkan hubungan baik antara ibu bapa, penjaga dan anak-anak.

    Antara ibu bapa yang hadir semasa program berkenaan. – Gambar serahan PTET

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda