Oleh Sim Y. H.
TUTONG, 22 MEI – Menyedari akan peningkatan kes gangguan seksual di beberapa buah sekolah, Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) telah menganjurkan Program Meningkatkan Kesedaran Mengenai Gangguan Seksual (ROASH) untuk semua pelajar tingkatan enam bawah, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PTET, di sini, program berkenaan telah difasilitasi oleh Kaunselor Sekolah PTET, Dayang Norhaslinda binti Haji Mohd Adnan dan Timbalan Pengetua Pentadbiran PTET, Awang Azrin bin Haji Bolhassan.
Program yang diadakan di Teater Kuliah Trustworthy dan Teater Kuliah Excellence, PTET itu telah dihadiri oleh seramai 173 orang pelajar yang terdiri daripada 99 orang pelajar perempuan dan 74 orang pelajar lelaki.
Semasa program berkenaan, antara aktiviti yang diadakan adalah tayangan video dan kuiz mengenai gangguan seksual, aktiviti sumbang saran dan pembentangan pelajar, lakonan pendek, rumusan serta penilaian.
Rasional penganjuran program berkenaan adalah menyedari meningkatkannya kes gangguan seksual di beberapa buah sekolah.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab pihak sekolah untuk menyebarluaskan pengetahuan mengenai gangguan seksual supaya dapat menghindari dan membuat tindakan sewajarnya jika berlaku gangguan sedemikian.
Program itu bermatlamat untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran pelajar serta sekolah mengenai gangguan seksual, memberi panduan kepada pelajar mengenai tindakan yang perlu diambil dan cara menangani gangguan seksual di sekolah.
Ia juga sebagai garis panduan kepada pihak sekolah dalam menangani kes gangguan seksual melalui program pencegahan gangguan seksual.


