Oleh Sim Y. H. –
TUTONG, 29 JUN – Pelajar-pelajar Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) Sesi 2023/20224 yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan BCGCE peringkat ‘O’, ’AS’, dan ‘A’ diraikan dalam Majlis Anugerah Akademik yang berlangsung di Dewan PTET, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian anugerah kepada para pelajar yang diraikan ialah Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Profesional), dari Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Metussin bin Haji Jais dan Pengurus Besar Insurans Islam TAIB, Haji Zamrin bin Haji Abdul Ghani.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah wakil-wakil dari Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), pengetua-pengetua dari sekolah-sekolah Daerah Tutong, ahli Jawatankuasa PIBG-PTET sesi 2025/2026, serta ibu bapa dan penjaga pelajar.
Majlis juga dihadiri oleh Pengetua PTET, Awang Muhammad Shahnofazli bin Haji Sabli; Timbalan Pengetua (Pentadbiran), Haji Azrin bin Haji Bolhassan; Timbalan Pengetua (Akademik), Koo Keung Eng, para tutor dan kakitangan PTET.
Anugerah tertinggi dalam majlis berkenaan telah dianugerahkan kepada Dayang Amal Izzati binti Muhyidin dari kelas U6-5 atas pencapaian cemerlang beliau dalam peperiksaan BCGCE peringkat ‘AS’ dan ‘A’ di mana beliau memperolehi gred ‘A*’ dalam subjek Bahasa Melayu dan Usuluddin serta gred ‘A’ dalam Syariah.


Seramai 13 orang pelajar telah menerima anugerah atas kecemerlangan mereka mencapai 300 mata tarif dan ke atas dalam peperiksaan BCGCE peringkat ‘As’ dan ‘A’.
Seramai 20 orang pelajar telah dianuge-rahkan kecemerlangan bagi pencapaian gred terbaik dalam subjek BCGCE peringkat ‘O’, ‘AS’, dan ‘A’.
Tiga orang pelajar menerima anugerah motivasi atas peningkatan terbaik dalam Program Privileged Guided Learning (PrivGL) 2024.
Manakala dua orang pelajar menerima anugerah motivasi sebagai mentor dan mentee terbaik dalam Peer Monitoring Program (PMP) 2024.
Seramai 10 orang pelajar pula menerima anugerah pencapaian atas penglibatan sekurang-kurangnya 4 jam dalam PMP.
Manakala itu, seramai 98 orang pelajar menerima anugerah motivasi daripada tutor masing-masing atas prestasi cemerlang dalam peperiksaan.
Sijil tamat pengajian juga telah disampaikan kepada semua pelajar sesi 2023/2024 bagi menandakan tamatnya pembelajaran mereka bagi peperiksaan BCGCE peringkat ‘As’ dan ‘A’.
Seramai 15 orang tutor PTET turut menerima anugerah atas pencapaian sasaran kebangsaan gred A* – C dan A* – E dalam peperiksaan BCGCE peringkat ‘O’, ‘As’ dan A sesi Oktober/November 2024. Jabatan subjek Bahasa Melayu, Ekonomi, Matematik, Fizik, Sosiologi dan Syariah masing-masing menerima anugerah kerana mencapai sasaran kebangsaan.
Anugerah baharu yang diperkenalkan 2024 iaitu Anugerah Insurans Islam TAIB A*Student telah disampaikan oleh Haji Zamrin, kepada dua orang pelajar iaitu Dayang Amal Izzati binti Muhyidin dari U6-3 dan Dayang Nur Ain Arisha binti Muhammad Armus dari U6-3.
Selain itu, beberapa anugerah turut disampaikan kepada pelajar-pelajar pada majlis itu termasuk Anugerah Hadion’s Mathematics, Anugerah Bryan Haysum Science Excellence (BHSEA), Anugerah Ja ‘Izah Al-‘Ula serta Anugerah Pelajar Cemerlang.
Majlis turut diserikan dengan persembahan drama bertajuk, Sketsa Si Luncai, oleh pelajar-pelajar daripada subjek Bahasa Melayu bersama pelajar tingkatan enam atas, yang dikendalikan oleh Jabatan Bahasa Melayu.

