Pth-4 unissa ke smpihm

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) telah mengadakan aktiviti khidmat masyarakat tahunannya iaitu Program Tunas Harapan (PTH) yang diadakan buat kali keempat, baru-baru ini.

Program yang membawa tema ‘Mujtamak Rahim’ bermaksud ‘Masyarakat Penyayang’ itu dikendalikan oleh seramai 48 orang mahasiswa dan mahasiswi Tahun 3 FEKIm UNISSA.

Dengan dipengerusikan oleh mahasiswa Tahun 3, Program Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan Islam, Awang Abdul Raziq bin Haji Yussof, khidmat masyarakat pada tahun ini menyasarkan penuntut dari Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajjah Mariam (SMPIHM), Kampung Serasa.

Seramai 88 orang penuntut Tahun 7 telah mengikuti program tersebut yang diadakan di sekolah berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, program diisikan dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat bagi memberi kesedaran kepada peserta mengenai pentingnya mewujudkan suasana harmoni, kasih mengasihi, bantu membantu, hormat menghormati di samping memberi kesedaran mengenai bahaya perbuatan buli yang membawa impak negatif terhadap individu, masyarakat dan negara serta cara untuk menanganinya.

Program diakhiri dengan majlis penutup yang dihadiri oleh Pengetua SMPIHM, Awang Omar Arif bin Abdullah Lasit selaku tetamu kehormat majlis.

Turut hadir ialah Dekan FEKIm UNISSA, Dr Abdul Nasir bin Abdul Rani, guru-guru SMPIHM dan para pensyarah dari FEKIm UNISSA.

Majlis Penutupan PTH-4 telah diserikan dengan tayangan video bertajuk ‘Buli’ lakonan ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PTH-4 selain penyampaian sijil penyertaan dan hadiah kumpulan terbaik PTH-4 yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Dekan FEKIm UNISSA menyampaikan cenderamata kepada Pengetua SMPIHM.