MIAMI GARDENS, 19 MAC – Sebuah kesatuan tenis yang diasaskan bersama oleh Novak Djokovic kelmarin, mengumumkan beberapa tindakan undang-undang terhadap badan pengurusan sukan, menuduh ‘pengekangan anti-persaingan dan amalan penyalahgunaan’.
Persatuan Pemain Tenis Profesional (PTPA) berkata mereka menyaman kedua-dua penganjur jelajah, Persatuan Pemain Tenis Lelaki (ATP) dan Persatuan Tenis Wanita (WTA).
Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF), dan Agensi Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA) juga dinamakan sebagai defendan dalam beberapa tindakan yang dilakukan di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kesatuan Eropah.
Kedua-dua ATP dan WTA memberikan respons dengan berjanji untuk mempertahankan diri mereka terhadap dakwaan tersebut dengan menyatakan bahawa PTPA ‘sentiasa memilih perpecahan dan gangguan melalui maklumat palsu berbanding kemajuan.’
PTPA ditubuhkan oleh Djokovic dan Vasek Pospisil dari Kanada pada tahun 2020. Kira-kira 20 pemain dinamakan sebagai sebahagian daripada sekurang-kurangnya satu tindakan.
“Tindakan undang-undang ini mendedahkan penyalahgunaan sistem, amalan anti-persaingan, dan pengabaian terang-terangan terhadap kebajikan pemain yang berterusan selama beberapa dekad,” kata kenyataan PTPA.
“ATP, WTA, ITF, dan ITIA beroperasi sebagai kartel dengan melaksanakan beberapa sekatan anti-persaingan yang keras dan amalan penyalahgunaan yang saling berkait.”
“Tenis telah rosak,” kata Ahmad Nassar, Pengarah Eksekutif PTPA. – AFP
