Penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman atau nama sebenar Azman Syah Alias didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan pada Rabu atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua orang remaja lelaki pada Februari dan Julai lalu.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau itu terhadap dua orang remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun.
PU Azman, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya iaitu Husni Fairos Ramly memohon mahkamah mengenakan jaminan tinggi terhadap tertuduh iaitu RM15,000 bagi setiap pertuduhan kerana kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Peguam yang mewakili tertuduh, Mohamad Zahid Ahmad kemudian memohon jaminan yang rendah atas alasan pendapatan anak guamnya terjejas sejak direman bulan lalu dan memerlukan bantuan keluarga untuk menjaminnya.
“Dia telah hadir hari ini dan menunjukkan kerjasama yang sangat baik.
“Tertuduh berusia 41 tahun merupakan seorang bujang dan turut menanggung keluarga di Rantau, Seremban,” katanya dalam prosiding kes.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dan tertuduh dilarang menghampiri mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Selain itu, mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada Sabtu pertama setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Disember depan untuk serahan dokumen. – Agensi
