Pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Azman, masih bergiat aktif memenuhi undangan program ceramah walaupun sedang berdepan pelbagai tuduhan jenayah seksual.
Azman atau Azman Syah Alias, 42, berkata, dia masih menjalani kehidupan seperti biasa termasuk membuat perkongsian berkaitan hal agama di media sosial miliknya.
“Perkembangan terkini seperti biasa. Saya masih menerima jemputan ceramah.
“Kebanyakan program ceramah dilakukan di Perak dan saya juga masih buat content di media sosial seperti biasa.
“Dalam situasi seperti ini, saya dah tak fikirkan apa-apa,” katanya kepada mStar.

Azman berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas sebutan kes amang seksual melibatkannya di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini.
Dalam pada itu, Azman memberitahu fizikalnya kelihatan kurus bukan disebabkan tertekan dengan kes dihadapinya tetapi aktif melakukan aktiviti fizikal seperti mendaki bukit dan gunung.
“Selebihnya saya melakukan aktiviti-aktiviti bersifat peribadi seperti hiking. Itu yang nampak kurus sikit,” ujarnya.
Pada sebutan kes tersebut, Hakim Norhazani Hamzah, menetapkan pertuduhan kes amang seksual melibatkan Azman di Mahkamah Sesyen Klang dibicarakan serentak dengan kes di Mahkamah Sesyen Ampang.
Mahkamah menetapkan 8, 9, 23, 29 dan 30 Mei 2024 sebagai tarikh perbicaraan. – Agensi