Pencetus Ummah (PU) Rahmat memaklumkan keadaan rakyat Malaysia yang mengikuti misi kemanusiaan dalam keadaan selamat selepas kapal utama milik Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dilaporkan diserang sebuah dron ketika berada di perairan Tunisia.
Rahmat, 32, memberitahu mereka ketika ini dalam keadaan tenang namun terselit rasa bimbang dan gentar sebaik sahaja serangan tersebut berlaku.
“Alhamdulillah setakat ini kami semua masih tenang sebab kita semua masih ada rakan-rakan yang menyokong antara satu sama lain.
“Kami juga saling berkongsi perkembangan, cuma hari ini saya rasa memang semua orang sebagai seorang manusia semestinya ada risau atau gentar,” katanya.
Rahmat berkongsi perkara itu semasa ditemubual penyampai radio Kool FM.
Menurut Rahmat, kapal yang diserang adalah kapal utama yang membawa orang-orang penting untuk misi kemanusiaan itu. Lebih mencemaskan lagi apabila kapal berkenaan bersebelahan dengan miliknya.
“Kapal yang diserang dron adalah kapal utama, di dalamnya ada pimpinan GSF seperti Thiago dan Greta. Kapal saya berada di sebelah kapal yang diserang. Kapal kami selamat dan kapal yang terbakar berjaya dipadamkan api,” jelasnya.
Dalam masa sama dia juga berkongsi keadaan terkini rakan-rakan dari Malaysia termasuk penyanyi Zizi Kirana yang turut sama menyertai misi berkenaan.
Meskipun dinasihatkan untuk berehat, mereka kini dalam keadaan bersedia bagi meneruskan pelayaran selepas mendapat arahan lanjut.
“Zizi tidak satu kapal bersama saya tapi saya boleh yakinkan semua rakyat Malaysia selamat cuma kami dimaklumkan tolong semua tidur sebab kalau tiba-tiba dapat arahan berlayar terus esok terus jadi. Ataupun mungkin ditangguhkan jadi kami ini menunggu arahan,” kongsinya.
Zizi sebelum ini dalam satu hantaran di Instagram miliknya memuat naik hantaran memberitahu ‘kami di serang’. Bagaimanapun serangan tersebut bukanlah membabitkan kapal yang dinaikinya. Tunisia juga pernah melaporkan serangan tersebut tidak melibatkan dron.
Rahmat dan Zizi kini dalam pelayaran menyertai Misi Global Sumud Flotilla, sebuah usaha antarabangsa untuk memecahkan sekatan haram rejim Israel ke atas Gaza. Mereka berlepas ke Sepanyol pada 28 Ogos lalu sebelum menyertai pelayaran bersama delegasi dari seluruh dunia. – Agensi



