Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Puak rusa kutub terakhir China

    “Ah-oh,” teriak Juele di kejauhan, diikuti dengan perkataan Ewenki, ‘emege’, yang bermaksud ‘kembali’. Ia adalah nada panjang dan tinggi yang bergema di celah-celah pokok.

    Juele, 39, memakai pakaian daripada kulit binatang yang diwarisi daripada nenek moyangnya, Aoluguya Ewenki, sedang mencari dan memanggil kumpulan rusa kutubnya di hutan dan padang salji di Banjaran Greater Hinggan, China.

    Selepas setiap panggilan, beliau akan berdiri diam dan menunggu tindak balas haiwan-haiwan itu. Jika rusa kutub mendengarnya, ia akan berlari ke arahnya dan loceng yang tergantung di leher rusa akan berbunyi.

    Harungi salji

    Di sebuah ladang yang dimiliki oleh biro hutan Jinhe, yang terletak lebih dari 80 kilometer dari bandar Genhe, wilayah autonomi Inner Mongolia, Juele menggembala lebih daripada 60 ekor rusa kutub dengan kaedah tradisional puak Ewenki Aoluguya.

    Juele membiarkan rusa kutub meragut makanan dan berkeliaran secara bebas di dalam hutan.

    Juele bersama isteri dan anak mereka. – Xinhua
    Juele memanaskan daging kering di dapur dalam khemahnya di hutan. – Xinhua
    Makanan kegemaran haiwan, lumut dari pokok hutan diperiksa oleh Juele. – Xinhua

    Juele memberi makan kek kacang soya kepada salah seekor rusanya. – Xinhua

    Setiap dua hingga tiga hari, dia berjalan mengharungi salji tebal dan masuk ke dalam hutan untuk mencari kawanannya.

    “Ekologi semakin baik sekarang berbanding tahun-tahun sebelumnya namun di hutan, haiwan yang ganas seperti beruang, lynx, dan serigala semakin berani, jadi saya perlu kerap datang untuk memeriksa jika rusa kutub telah bertemu dengan pemangsa,” kata Juele, mengimbas tentang salah satu kawanan rusa yang telah dibunuh oleh lynx.

    Puak rusa kutub terakhir

    ‘Ewenki’ bermaksud ‘orang yang tinggal di gunung dan hutan besar’, dan ‘Aoluguya’ adalah perkataan Ewenki yang bermaksud ‘tempat di mana hutan poplar tumbuh subur.’

    Aoluguya Ewenki adalah puak rusa terakhir dan kumpulan etnik pembakaan rusa tunggal di China. Pada tahun 2003, mereka berpindah dari gunung ke bandar Genhe, tetapi kebudayaan tradisional terus diwarisi berkat usaha perlindungan negara.

    Selesa hidup di desa

    Juele membesar dengan ibunya di hutan gunung, dan deringan loceng rusa merupakan ‘runut bunyi’ yang sangat disukainya semasa zaman kanak-kanaknya.

    Selepas tamat pengajian, dia bekerja di jabatan pengimejan perubatan di sebuah hospital di Beijing, tetapi dia merasakan kampung halamannya sentiasa memanggilnya.

    “Malah ketika duduk di sofa di rumah, saya boleh mendengar loceng rusa berdering di telinga saya,” katanya. Pada 2015, Juele memutuskan untuk mengikut kata hatinya dan kembali ke bandar Aoluguya untuk mengambil alih tugas memelihara rusa daripada ibunya yang semakin tua.

    Biasa dengan cuaca dingin Banjaran Hinggan

    Memelihara rusa agak membosankan, sunyi dan ada kalanya sukar. Rusa tinggal di hutan tebal di pedalaman Banjaran Greater Hinggan yang terletak lebih daripada 10 kilometer dari bandar terdekat.

    Tinggal di kawasan terpencil seperti itu tanpa isyarat telekomunikasi mudah alih, Juele perlu menangani kesunyian mendalam.

    Cuaca dingin hampir tidak tertanggungkan. Aoluguya terletak di Genhe, yang dikenali sebagai “kutub sejuk China”, di mana suhu pada musim sejuk kadang-kadang boleh jatuh di bawah -50 C.

    Bagi kebanyakan orang, terdedah beberapa minit sahaja kepada suhu ini akan berbahaya.

    Tetapi orang Ewenki Aoluguya seperti Juele, yang tinggal di sini, sering berjalan beberapa kilometer dalam timbunan salji separas lutut untuk mencari kawanan rusa.

    Dari 23 Disember sehingga 1 Januari, Juele menghabiskan lebih daripada lapan jam setiap hari mencari kawanan rusa di hutan yang diselubungi salji tebal sebelum menemui rusa-rusanya.

    “Itu adalah hadiah Tahun Baharu terbaik yang pernah saya terima, dan hadiah ini juga menunjukkan kepada saya bahawa tahun 2023 akan menjadi tahun yang indah,” kata Juele.

    Taraf hidup puak Ewenki Aoluguya semakin baik

    Kerajaan tempatan telah menggandakan usaha untuk meningkatkan kehidupan puak Ewenki Aoluguya.

    Penduduk diberi perumahan percuma setelah berpindah dari gunung ke Genhe; di habitat rusa di gunung, karavan dengan penebat yang baik, yang kelihatan seperti rumah kecil di atas roda yang boleh ditarik oleh kenderaan disediakan untuk memudahkan orang Ewenki Aoluguya memindahkan rusa-rusanya.

    Selain itu, kerajaan sedang mencuba membangunkan pelancongan untuk meningkatkan pendapatan penduduk tempatan.

    Juele mengatakan biasanya dia memperoleh lebih daripada 100,000 yuan (AS$14,739) setahun daripada penternakan rusa, menjual tanduk dan melayani pelancong, dan tidak ada masalah untuk menyara keluarganya.

    Walau bagaimanapun, penda-patannya dalam tiga tahun terakhir telah mengalami penurunan yang ketara disebabkan pandemik, dengan jualan tanduk merosot dan impak kepada industri pelancongan yang lebih besar.

    “Saya kini menantikan musim panas yang akan datang, di mana satu kelompok tanduk baharu akan matang dan yang paling penting, pelancongan di Genhe pasti akan berkembang lagi,” kata Juele. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda