Saturday, May 3, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Puasa enam di bulan Syawal

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    DENGAN kedatangan bulan Syawal, umat Islam bukan saja berpeluang meraikan kemenangan ibadah berpuasa di bulan Ramadan, tetapi juga berpeluang untuk menambah satu lagi bentuk ibadah sunat yang dijanjikan ganjaran yang besar oleh Allah SWT iaitu puasa enam di bulan Syawal.

    Puasa enam di bulan Syawal ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari di bulan Syawal setelah selesai menjalani kewajipan ibadah puasa di bulan Ramadan. Puasa sunat enam harus dikerjakan secara berasingan atau berselang seli hari sepanjang bulan Syawal. Walau bagaimanapun yang afdalnya dikerjakan secara berturut-turut selepas Hari Raya, iaitu mulai hari raya kedua kerana menyegerakan melaksanakan ibadat.

    Ibadat puasa enam ini sunat dilakukan oleh orang-orang yang berpuasa sebulan penuh di bulan Ramadan dan bagi orang yang tidak berpuasa Ramadan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syarak seperti haid dan nifas, musafir atau sakit. Bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadan dengan senghaja pula, wajib ke atasnya menyegerakan qadha puasa Ramadan yang ditinggalkannya itu dan haram ke atasnya melakukan puasa-puasa sunat termasuklah puasa enam kecuali setelah dia selesai mengqadha puasanya.

    Tidak dinafikan, memandangkan ganjaran puasa enam yang amat besar sebagaimana tersebut dalam hadis Rasulullah SAW, maka jangan dilepaskan peluang berpuasa di bulan Syawal yang hanya datang setahun sekali. Akan tetapi dengan adanya jemputan jamuan rumah terbuka atau ‘open house’ sempena Hari Raya membuatkan sesetengah individu merasa ragu-ragu sama ada menolak saja pelawaan jamuan makan atau terlepas melakukan puasa sunat enam, namun ini jangan sampai terjadi.

    Fadilat berpuasa sunat enam di bulan Syawal

    Fadilat melakukan puasa sunat enam selepas berpuasa penuh di bulan Ramadan adalah amat besar sebagaimana yang disebut oleh Rasullullah SAW yang mengibaratkan gandingan kedua puasa iaitu puasa sebulan penuh di bulan Ramadan dan puasa enam hari di bulan Syawal umpama berpuasa sepanjang tahun. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub al-Anshari Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

    “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun” (Hadis riwayat Muslim)

    Dalam hadis tersebut dijelaskan mengenai ganjaran melaksanakan puasa Ramadan yang diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal adalah seperti berpuasa sepanjang tahun. Disebutkan bahawa seseorang yang melakukan satu kebaikan ganjarannya adalah sebanyak 10 pahala. Oleh yang demikian, puasa sebulan penuh di bulan Ramadan menyamai dengan sepuluh bulan iaitu kira-kira 300 hari, sementara puasa enam hari di bulan Syawal adalah menyamai dua bulan iaitu 60 hari dan ini menjadikan jumlah ganjaran pahala seperti pahala berpuasa 12 bulan keseluruhannya iaitu setahun.

    Persamaan di sini adalah dari segi perolehan pahala, iaitu seseorang itu akan mendapat pahala seperti pahala yang didapatinya daripada puasa fardu. Hasilnya orang yang mengerjakan puasa enam setelah mengerjakan puasa Ramadan adalah sama dengan pahala mengerjakan puasa fardhu sebanyak setahun.

    Fadilat ini hanya diperolehi bagi orang yang melakukan puasa Ramadan sebulan penuh. Walau bagaimanapun orang yang tidak berpuasa Ramadan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syarak akan mendapat pahala sunat jika melakukan puasa enam ini.

    Jemputan jamuan makan bukan penghalang untuk berpuasa enam

    Sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat Islam di Brunei, khususnya pada musim Hari Raya Aidilfitri untuk berziarah ke rumah saudara-mara dan sahabat-handai bagi mengeratkan silaturrahim. Hidangan juadah yang pelbagai memang tidak pernah ketinggalan dihidangkan kepada tetamu yang datang berkunjung. Apalagi jika kunjungan itu bagi menghadiri jemputan jamuan rumah terbuka atau ‘open house’.

    Apabila dijemput menghadiri ‘open house’ pula, kadang-kadang sebagai tetamu sukar bagi kita untuk menolak, lebih-lebih lagi jika kita rapat atau dekat dengan orang yang menjemput itu. Malahan lebih sukar lagi jika kunjungan itu hanya terhad dan mampu dibuatnya di siang hari sahaja. Ini menyebabkan seseorang yang ingin berpuasa sunat merasa serba salah dalam membuat pilihan.

    Dalam hal orang yang memenuhi jemputan dalam keadaan dia berpuasa, para ulama telah memberi garis pandu seperti berikut:

    1) Jika puasa yang dilakukan oleh tetamu tersebut merupakan puasa sunat, maka dia diberikan pilihan sama ada meneruskan puasanya atau berbuka dan tidak meneruskan puasa sunatnya itu. Ini bergantung pada keadaan jemputan yang dihadirinya. Untuk memudahkannya menentukan pilihannya, maka dilihat keadaannya seperti berikut:

    Keadaan yang pertama: Sekiranya tuan rumah atau orang yang menjemput boleh jadi tersinggung atau berkecil hati sekiranya tetamu tersebut tidak memakan makanan yang dihidangkannya, maka dalam keadaan ini adalah dibolehkan, bahkan afdal bagi tetamu yang berpuasa sunat tadi untuk berbuka dan tidak meneruskan puasa sunatnya itu. Adapun alasan yang diberikan oleh ulama ialah untuk menjaga hati tuan rumah atau menggembirakannya dengan memakan makanan yang dihidangkannya.

    Diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah SAW pernah menyuruh seorang yang sedang berpuasa sunat supaya berbuka dalam majlis jamuan makan. Baginda bersabda yang maksudnya:

    “Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu.” Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya: “Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

    Keadaan yang kedua: Sekiranya tuan rumah itu dilihat tidak tersinggung ataupun tidak keberatan jika tetamunya itu meneruskan puasanya, maka dalam hal ini adalah lebih afdal dan lebih utama bagi tetamu itu untuk meneruskan sahaja puasa sunat tersebut.

    Disunatkan ke atas orang yang berpuasa untuk memberitahu bahawa dia sedang berpuasa, sebagai contoh: “Saya sedang berpuasa”, iaitu mengatakannya bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Zhuhair Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

    “Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan, dan ketika itu dia sedang berpuasa, maka katakanlah (kepadanya): ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa’.” (Hadis riwayat Muslim)

    2) Jika puasa yang dilakukan itu merupakan puasa wajib seperti puasa qadha Ramadan atau puasa nazar, maka adalah haram baginya untuk berbuka. Cukuplah baginya sekadar menghadiri jemputan tersebut dan disunatkan juga ke atasnya untuk mendoakan keberkatan serta keampunan ke atas tuan rumah dan para tetamu yang hadir sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

    “Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan, maka penuhilah (undangan itu). Jika dia sedang berpuasa, maka doakanlah tuan rumah itu, dan jika dia tidak berpuasa, maka makanlah.” (Hadis riwayat Muslim)

    Manakala, bagi tuan rumah atau orang yang menjemput, adalah lebih utama baginya untuk berbuka jika dia sedang berpuasa sunat ketika itu agar dia dapat menikmati hidangan bersama tetamu. Alasan yang diberikan para ulama ialah sebagai menghormati tetamu.

    Cara berpuasa enam bagi orang yang tidak berpuasa Ramadan sebulan penuh kerana uzur Syarie

    Terdapat beberapa cara boleh dilakukan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syarak, namun tidak mahu terlepas peluang untuk melaksanakan puasa sunat enam, iaitu seperti berikut:

    1) Melaksanakan dahulu qadha puasa Ramadan di bulan Syawal dan setelah selesai barulah melaksanakan puasa enam.

    2) Atau mendahulukan puasa sunat enam hari di bulan Syawal dan seterusnya melaksanakan qadha puasa sama ada di bulan Syawal atau pada bulan-bulan yang lain sebelum tibanya Ramadan akan datang. Perkara ini dihukumkan makruh kerana melambatkan qadha Ramadan. Walau bagaimanapun diberi pahala sunat kerana puasa sunat enam yang dilakukannya.

    3) Atau meniatkan puasa qadha dan puasa sunat enam sekali gus.

    Harus berniat bagi kedua-dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa sunat dengan tujuan bagi melaksanakan kedua-dua tuntutan itu. Dengan demikian terlaksanalah puasa qadha dan mendapat ganjaran sunat kerana berpuasa enam.

    Sebagai contoh seseorang itu boleh berniat: “Sahaja aku puasa esok hari mengqadha puasa Ramadan dan puasa sunat enam bulan Syawal kerana Allah Ta‘ala.”

    Sesungguhnya amatlah besar ganjaran yang dikurniakan oleh Allah SWT bagi sesiapa yang melaksanakan sesuatu ibadah dengan penuh ketakwaan dan keikhlasan.

    Puasa sunat enam di bulan Syawal merupakan kesinambungan ibadah puasa yang dilakukan di bulan Ramadan.

    Oleh yang demikian, mari kita rebut peluang yang hanya datang setahun sekali ini. Jangan kita biarkan bulan Syawal berlalu tanpa melakukan puasa sunat enam.

    Rintangan atau dugaan untuk melaksanakannya, seperti adanya majlis ‘open house’ atau yang seumpamanya, janganlah dijadikan alasan untuk meninggalkannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda