Sabtu, 22 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Puasa sia-sia jika adab tidak dijaga

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Ramadan adalah bulan ibadat iaitu bulan untuk melipatgandakan amal kepada Allah SWT dan amat beruntung mereka yang merebut ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah SWT dan amat rugi bagi orang yang mensia-siakannya.

    Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk Puasa: Perisai dari Azab Api Neraka seterusnya menegaskan, “Puasa akan menjadi perisai yang menghalang daripada seksaan api neraka dan benteng yang menghalang melakukan perkara keji dan mungkar.”

    Katanya lagi, “Ibadat puasa itu selain menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum dan seumpamanya, puasa juga berperanan menahan diri daripada melakukan perkara buruk dan sia-sia. “Kita tidak mahu ibadah puasa yang dikerjakan itu hanya menahan lapar dan dahaga semata-mata,” tekannya.

    Ibadah puasa bukanlah hanya sekadar mengawal kehendak nafsu syahwat, tetapi Allah SWT memerintahkan supaya kita menjaga anggota badan yang lain daripada melakukan perkara yang tidak baik dan sia-sia yang merugikan dan mengurangkan pahala ibadat puasa.

    “Oleh itu, bagi meraih kesempurnaan ibadah puasa, terdapat adab-adab yang perlu dijaga ketika melaksanakannya, antaranya dengan mengawal dan menutup pandangan mata daripada melihat perkara yang diharamkan oleh syarak dan perkara yang boleh melalaikan hati daripada mengingati Allah SWT.

    GAMBAR FAIL MEDIA PERMATA

    “Selain itu, menutup telinga daripada mendengar perkara yang diharamkan supaya tidak tergolong ke dalam golongan orang yang suka mendengar berita bohong dan perkara sia-sia.

    “Menjaga lidah daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah seperti berbual kosong, lebih-lebih lagi kita dituntut supaya menjaga lidah daripada mengeluarkan kata-kata yang diharamkan seperti mengumpat, berdusta, menyebarkan fitnah dan seumpamanya,” jelas khatib.

    Di samping itu, katanya, kita hendaklah memelihara seluruh anggota yang lain seperti tangan, kaki dan sebagainya daripada melakukan perkara yang haram dan tidak berfaedah.

    “Mudah-mudahan ibadah puasa di sepanjang bulan Ramadan ini diterima dan mendapat ganjaran daripada Allah dan semoga tidak tergolong dalam golongan orang berpuasa yang hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja,” tekan khatib semasa mengakhiri khutbah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda