(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
SIRI 2
Pengecualian diharuskan berpuasa selepas 15 haribulan Sya‘ban dan pada Hari Syak
SEBAGAIMANA yang telah dijelaskan terdahulu, hukum berpuasa pada hari Syak dan separuh kedua bulan Sya‘ban tanpa ada sebab adalah haram. Sebaliknya, jika dia mempunyai sebab untuk melakukan ibadat puasa, maka tidak dihukumkan haram. Sebab-sebab yang membolehkan seseorang itu berpuasa pada hari Syak dan separuh kedua bulan Sya‘ban adalah seperti berikut:
1. Sudah menjadi adat atau kebiasaan berpuasa. Umpamanya pada hari yang dia berpuasa sunat itu (mana-mana hari selepas 15 haribulan Sya‘ban) atau pada hari Syak itu kebetulan jatuh bertepatan dengan hari yang pada adat kebiasaannya dia berpuasa, seperti puasa sunat hari Isnin atau puasa sunat Khamis atau puasa sunat berselang-selang, sehari berpuasa dan sehari tidak puasa.
Pengecualian ini adalah berdasarkan kepada hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah bersabda yang maksudnya:
“Jangan kamu dahului bulan Ramadhan itu dengan berpuasa sehari dan juga dua hari melainkan puasa seseorang yang (kebetulan bertepatan mengikut adat kebiasaannya) dia berpuasa (pada hari itu), maka berpuasalah. (Hadis riwayat Muslim)
2. Puasa yang wajib, seperti puasa qadha, nazar dan kaffarah. Namun jika seseorang itu bernazar berpuasa kerana hari Syak, maka hukum bernazar sedemikian adalah tidak sah.
Keharusan berpuasa wajib dalam hal ini adalah diqiyaskan kepada keharusan berpuasa kerana adat kebiasaan yang sabit melalui hadits Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam seperti yang dijelaskan di atas.
3. Bukan kerana puasa wajib atau adat kebiasaan; dengan syarat hendaklah dia memulakan puasa sunat tersebut pada hari-hari separuh pertama bulan Sya‘ban (1-15 haribulan Sya‘ban), kemudian diteruskan atau disambung puasa tersebut dengan separuh kedua bulan Sya‘ban tanpa putus atau berbuka (tidak berpuasa). Ini bermaksud jika dia hendak berpuasa pada separuh kedua bulan Sya‘ban, maka caranya ialah hendaklah dia menyambung puasa sunatnya pada separuh kedua bulan Sya‘ban itu dengan hari-hari pada separuh pertama bulan Sya‘ban, kemudian meneruskan puasanya itu sehingga ke akhir bulan Sya‘ban tanpa berbuka.
Dalam perkara ini, disyaratkan hendaklah puasa sunat itu dimulakan atau dikerjakan sebelum atau pada 15 haribulan Sya‘ban; bukan kemudian daripada itu. Jika dia memulakan puasanya itu hanya selepas separuh kedua Sya‘ban, maka tidak diharuskan (haram) baginya berpuasa sunat pada separuh kedua Sya‘ban (16 haribulan hingga akhir bulan Sya‘ban).
Adalah juga memadai jika sekiranya dia memulakan puasa sunatnya itu hanya pada 15 haribulan Sya‘ban, kemudian menyambung puasanya itu tanpa berbuka di separuh kedua bulan Sya‘ban.
Walau bagaimanapun, jika pada mana-mana hari dalam separuh kedua bulan Sya‘ban itu dia berbuka (tidak berpuasa) sekalipun kerana keuzuran, dia ditegah meneruskan puasa sunatnya itu pada baki hari-hari separuh kedua bulan Sya‘ban melainkan jika dia mempunyai sebab. Sebagai contoh seseorang berpuasa pada 15 dan 16 haribulan Sya‘ban, kemudian dia berbuka (tidak berpuasa) pada 17 haribulan Sya‘ban, maka diharamkan dia berpuasa pada 18 haribulan Sya‘ban dan hari-hari seterusnya tanpa sebab.
Adapun bagi sesiapa yang berpuasa bulan Sya‘ban sepenuhnya, maka sudah jelas tidak termasuk dalam larangan ini, kerana itu sudah menjadi adat atau kebiasaan.
Maka dalam tiga keadaan yang telah disebutkan tadi, diharuskan bagi seseorang itu untuk berpuasa pada separuh kedua bulan Sya‘ban dan pada hari Syak.
Maksud adat kebiasaan berpuasa di bulan Sya‘ban
Apabila menyebut adat kebiasaan, seringkali difahami bahawa perbuatan atau amalan itu telah dilakukan berulang-kali dan perbuatan tersebut tidak ditinggalkan dalam tempoh yang lama.
Adapun dalam konteks berpuasa bulan Sya‘ban, adalah dikira atau memadai untuk dinamakan sebagai adat kebiasaan berpuasa itu walaupun ia dilakukan atau dikerjakan cuma sekali; dengan syarat tertentu.
Memadai juga jika amalan berpuasa sunat itu dilakukan pada tahun sebelumnya ataupun pada suatu masa atau tempoh yang telah lama berlalu jika mematuhi syarat yang ditentukan. Sekiranya dia mempunyai adat yang berbeza-beza kerana dilakukan pada tahun yang berlainan, maka yang diambil dikira ialah adat kebiasaan pada tahun yang terakhir dikerjakan.
Dalam hal ini, Imam Ibnu Hajar Rahimahullah ketika menjawab pertanyaan mengenai sukat-sukat adat kebiasaan yang mengharuskan berpuasa pada separuh kedua bulan Sya‘ban, beliau telah membahagikannya kepada dua, iaitu:
i. Adat kebiasaan yang baru sekali sahaja dilakukan, dengan syarat hendaklah dikerjakan puasa tersebut pada separuh pertama bulan Sya‘ban dan tidak diselangi dengan berbuka (tidak berpuasa) antara separuh pertama bulan Sya‘ban dan separuh keduanya. Jika diselangi dengan berbuka (tidak berpuasa), maka adat itu menjadi batal. Apabila adat tersebut batal, maka hukum berpuasa pada separuh kedua bulan Sya‘ban adalah haram.
ii. Adat kebiasaan yang telah berulangkali dilakukan, dengan syarat hendaklah dikerjakan puasa tersebut pada separuh pertama bulan Sya‘ban atau bulan sebelumnya.
Untuk memahami perkara di atas, penjelasannya secara ringkas seperti berikut:
i. Puasa sunat yang cuma dilakukan sekali sahaja:
(a) Apa yang dikira sebagai adat kebiasaan:
Seseorang cuma pernah berpuasa sunat pada hari Isnin minggu kedua bulan Sya‘ban (9 haribulan Sya‘ban). Kemudian hari Isnin seterusnya (hari Isnin minggu ketiga), kebetulan jatuh pada 16 haribulan Sya‘ban.
Hukum berpuasa selepas 15 haribulan Sya‘ban:
Jika dia hendak melakukan puasa pada hari Isnin minggu ketiga itu (16 haribulan Sya‘ban) hukumnya adalah harus. Ini kerana perbuatannya melakukan puasa secara berturutan, bermula pada hari Isnin minggu kedua bulan Sya‘ban (9 haribulan) dan akan diikuti lagi berpuasa pada hari Isnin minggu ketiga bulan Sya‘ban (16 haribulan) sudah memadai untuk dianggap sebagai adat kebiasaan.
(b) Apa yang tidak dikira sebagai adat kebiasaan:
Seseorang cuma pernah berpuasa pada hari Isnin minggu pertama bulan Sya‘ban (2 haribulan Sya‘ban). Kemudian hari Isnin minggu kedua (9 haribulan Sya‘ban) dia tidak berpuasa.
Hukum berpuasa selepas 15 haribulan Sya‘ban:
Jika dia hendak melakukan puasa pada hari Isnin minggu ketiga (16 haribulan Sya‘ban) hukumnya adalah haram. Ini kerana di antara hari Isnin minggu yang pertama dengan hari Isnin minggu yang ketiga telah diselangi oleh hari Isnin minggu kedua dalam keadaan dia tidak melakukan puasa.
Maka yang demikian itu tidak membolehkannya untuk dianggap sebagai adat kebiasaan.
ii. Puasa sunat yang sudah berulangkali dilakukan:
(a) Seseorang itu sudah menjadi adat kebiasaannya berpuasa sunat setiap minggu pada setiap hari Isnin. Tetapi dalam pada itu juga, adakalanya dia tidak melakukan puasa pada hari Isnin.
Hukum berpuasa pada hari Isnin selepas 15 haribulan Sya‘ban:
Memandangkan dia telah melakukan puasa sunat itu berulang kali, maka ini sudah dianggap sebagai adat kebiasaan. Oleh yang demikian, jika dia hendak berpuasa sunat pada hari Isnin pada separuh kedua bulan Sya‘ban hukumnya adalah harus kerana dia mempunyai sebab, iaitu adat kebiasaan. Sekalipun terdapat pada minggu-minggu sebelumnya dia pernah tidak berpuasa pada hari Isnin.
(b) Seseorang melakukan puasa sunat pada hari Isnin minggu kedua bulan Sya‘ban (9 haribulan Sya‘ban) dan hari Isnin minggu ketiga (16 haribulan Sya‘ban). Kemudian pada hari Isnin minggu keempat (23 haribulan Sya‘ban) dia tidak berpuasa, sebaliknya bercadang untuk berpuasa pada hari Isnin hadapannya (minggu kelima). Kebetulan hari Isnin minggu kelima itu jatuh pada hari Syak (30 haribulan Sya‘ban). Apakah hukumnya berpuasa pada hari Syak dalam hal ini?
Memandangkan dia telah melakukan puasa sunat itu berulang kali, maka ini sudah dianggap sebagai adat kebiasaan. Oleh yang demikian, jika dia hendak berpuasa sunat pada hari Isnin minggu kelima itu yang jatuh pada hari Syak (30 haribulan Sya‘ban) hukumnya adalah harus kerana dia mempunyai sebab, iaitu adat kebiasaan. Sekalipun terdapat pada minggu sebelumnya dia pernah tidak berpuasa pada hari Isnin.
Oleh itu dapat difahami bahawa tidak semua adat kebiasaan itu, khususnya yang dilakukan cuma sekali, dianggap memadai mengharuskannya berpuasa selepas separuh kedua bulan Sya‘ban. Berbeza dengan kebiasaan yang telah berulang kali dilakukan walaupun pernah diselangi dengan berbuka, maka itu telah memadai dianggap sebagai adat kebiasaan.
Sebagai kesimpulan berpuasa di bulan Sya‘ban adalah disunatkan, bahkan ia merupakan sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam. Baginda tidak pernah sekali-kali meninggalkan amalan berpuasa di bulan
Sya‘ban. Berdasarkan kepada amalan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, maka sebaiknya janganlah mengkhususkan berpuasa sunat di bulan Sya‘ban itu hanya pada 15 haribulan Sya‘ban sahaja.
Adapun hukum berpuasa sunat pada separuh kedua bulan Sya‘ban, secara ringkasnya, jika dia mempunyai sebab, seperti puasa wajib kerana qadha, nazar atau kaffarah, atau sudah menjadi adat kebiasaannya berpuasa pada hari tertentu seperti puasa sunat hari Isnin dan Khamis atau puasa sehari berbuka sehari, maka adalah diharuskan berpuasa dan tidak dihukumkan haram.
Adapun bagi mereka yang hendak berpuasa sunat, bukan kerana puasa wajib atau adat kebiasaan, maka hendaklah dia berpuasa sepenuhnya bulan Sya‘ban ataupun sekurang-kurangnya dia berpuasa pada 15 haribulan Sya‘ban dan meneruskan puasanya itu tanpa berbuka. Bagaimanapun jika dia berbuka (tidak berpuasa) pada separuh kedua bulan Sya‘ban, sekalipun kerana keuzuran, maka dia tidak lagi boleh meneruskan puasa sunatnya itu melainkan jika dia mempunyai sebab-sebab yang mengharuskan dia puasa.
Bagi mereka yang masih belum mengqadha puasa Ramadan yang lalu, maka tiadalah masa yang lebih tepat untuk menunaikannya melainkan di bulan Sya‘ban ini. Adapun bagi mereka yang bercadang untuk membiasakan diri sebagai persiapan menghadapi Ramadan, bolehlah memulakan latihan atau persediaan tersebut pada hari-hari separuh pertama bulan Sya‘ban supaya tidak terhalang apabila masuk separuh kedua bulan Sya‘ban.