Musim perayaan ini memang banyak dapat undangan Rumah Terbuka.
Kalau tidak pun, mesti ada jamuan ‘potluck’ di pejabat ataupun sekolah. Salah satu hidangan yang paling diminati dan sangat mudah disediakan untuk majlis tersebut antaranya ialah puding. Penyediaannya sangat mudah dan boleh siap selama satu jam.
Berikut adalah resipi puding yang mudah dan cepat untuk disediakan.
Puding Karamel
Apabila disebut sahaja karamel, tentu ramai sudah terbayang rasanya yang lemak manis.
Karamel adalah istilah kepada gula hangus malah cara menyediakan gula hangus ini sebenarnya lebih mudah daripada yang anda sangkakan.
Bahan-bahan:
400cc (400ml) susu segar/susu cair
5 sudu besar gula halus
3 biji telur – pada suhu bilik
2 biji telur kuning – pada suhu bilik
2-3 titik esen vanila
(Karamel)
5 sudu besar gula
2 sudu besar air
Cara penyediaan:
Sediakan karamel: Masukkan gula ke dalam periuk dengan satu sudu besar air. Masak di atas api sederhana. Bila nampak sedikit perang, masukkan satu sudu lagi air. Masak sehingga perang. Tuang ke dalam loyang. Ketepikan.
Masukkan telur dan kuning telur ke dalam mangkuk. Sambil meng-adun bahan tadi, masukkan gula sedikit demi sedikit. Kacau dengan perlahan sehingga sebati. Jangan biarkan berbuih.
Dalam periuk lain masukkan susu dan esen vanila. Panaskan sehingga 60 darjah Celsius. Jangan sampai mendidih.
Dengan susu yang masih panas, masukkan sedikit demi sedikit susu ke dalam telur tadi. Kacau sehingga sebati. Tuang ke dalam lo-yang yang ada karamel.
Tutupkan loyang dengan dua lapis kertas aluminium. Kukus dengan api sederhana selama 30 minit. Atau boleh juga dibakar di dalam ketuhar. Tetapi anda perlu meletakkan air suam ke dalam dulang pembakar.
Bakar selama 40-45 minit pada suhu 150 darjah Celsius.
Bila sudah masak, jangan buka kertas aluminium. Biarkan selama lima minit. Kemudian bolehlah dibuka.
Bila sejuk bolehlah disimpan dalam peti ais.
Puding Roti Kismis
Puding ini sangat sedap untuk dihidangkan malah bahan-bahan untuk membuatnya juga senang untuk diperolehi.
Justeru, ia sangat sesuai untuk dihidangkan semasa Majlis Rumah Terbuka anda. Di bahagian atas puding pula, anda boleh meletakkan lebihan kurma, buah-buah kering seperti beri, kismis dan sebagainya. Anda juga boleh meletakkan beberapa jenis buah dan kekacang, agar nampak menyelerakan.
Bahan-bahan:
6 keping roti
30 gm mentega dicairkan
80 gm kismis
4 biji telur dipukul
475 ml susu segar
150 gm gula halus
1 sudu kecil esen vanila
Cara penyediaan:
Potong kecil-kecil kesemua enam keping roti tadi dan susun atur ke dalam bekas yang bersesuaian.
Tuangkan sama rata mentega yang dicairkan tadi ke atas roti. Selepas itu taburkan kismis ke atasnya.
Di dalam ‘mixing bowl’ pukul rata telur, susu segar, gula dan esen vanila. Setelah siap, tuangkan ke atas mangkuk yang berisi roti tadi.
Bakar di dalam ketuhar dengan suhu 175 darjah Celsius selama 45 minit.
Boleh dihidangkan panas-panas atau simpan dalam peti sejuk.
Terpulang kepada cita rasa anda.
Puding Belang
Bagi anda yang ingin membuat kelainan, pastinya resipi puding belang ini akan mendapat perhatian pengunjung.
Disebabkan struktur warna dan coraknya, tentu ramai yang ingin merasanya.
Bahan-bahan:
10gm serbuk agar-agar
200gm gula
2 1/2 cawan air
1 tin susu cair
3 sudu besar mentega
3 sudu besar tepung jagung
2 biji telur
1 sudu besar serbuk koko dibancuh dengan menggunakan sedikit air panas
Sedikit pewarna kuning
Cara penyediaan:
Masak agar-agar dengan air dan gula hingga hancur.
Seterusnya pukul telur dan masukkan tepung jagung serta susu cair.
Pukul sehingga sebati. Kemudian tuangkan ke dalam agar-agar tadi.
Selepas itu masukkan mentega, biarkan mentega itu mendidih, tutup api. Bahagi kepada dua bahagian.
Satu bahagian dicampur pewarna kuning dan satu lagi dicampur koko.
Tuang sesenduk warna kuning dan sejukkan sekejap serta tuang pula warna coklat di bahagian tengah sedikit, ulang hingga habis.
Sejukkan dan hidangkan.
Puding Kastard Cocktail
Puding ini sangat mudah untuk disediakan. Anda hanya memerlukan empat hingga lima bahan sahaja.
Puding Kastard ini sangat enak jika dimakan ketika ia masih lagi sejuk tambahan lagi dengan keadaan cuaca panas ketika ini.
Dengan campuran buah-buahan, puding ini nampak begitu menyelerakan, sangat sesuai untuk Majlis Rumah Terbuka anda.
Bahan-bahan:
5 cawan susu segar/sejat
3-4 sudu besar tepung kastard
4 sudu besar gula pasir
1 sudu kecil esen vanila
Buah Cocktail mengikut ikut pilihan anda.
Cara penyediaan:
Tepung kastard dilarutkan bersama satu cawan susu.
Masak lebihan susu dengan gula hingga mendidih dan masukkan larutan tepung kastard tadi serta kacau terus sehingga pekat. Matikan api dan biarkan sejuk.
Kemudian, simpan kastard di dalam bekas bertutup supaya permukaan kastard tak berkulit. Bubuh buah cocktail ke dalam gelas hidangan. Tuang kastard secukupnya di atas cocktail ketika ingin menghidangkannya. Selamat mencuba.