Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    PUJA Academy anjur seminar Aplikasi Geosintetik dalam infrastruktur moden

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – PUJA Academy Sdn Bhd telah menganjurkan seminar bertajuk ‘Tensar Geosynthetic Application: Ground Stabilisation & Reinforced Soil Structure’ di Teater Kuliah, Mutiara Exchange, hari ini.

    Acara tersebut telah menghimpunkan para profesional dari sektor kejuruteraan dan pembinaan untuk meneroka aplikasi inovatif geosintetik dalam pembangunan infrastruktur moden.

    Seminar diadakan dengan kerjasama ATH-Chevron Sdn Bhd, dan Tensar iaitu sebuah bahagian daripada CMC, yang mana seminar dikendalikan oleh Mike Dobie, seorang Jurutera Geoteknik Bertauliah, dan Felo kepada Institution of Civil Engineers di United Kingdom (UK).

    Beliau dikenali dengan kepakarannya dalam kaedah reka bentuk tanah bertetulang dan teknologi penstabilan mekanikal, selain berkongsi pandangan berharga mengenai peranan yang semakin berkembang bagi geosintetik dalam pembinaan infrastruktur yang tahan lasak dan berdaya kos efektif.

    Di seminar itu, beliau turut menekankan bagaimana teknik penstabilan mekanikal khususnya penggunaan geogrid uniaxial dapat meningkatkan prestasi turapan, mempertingkatkan ketahanan, dan memanjangkan jangka hayat perkhidmatan.

    Peserta turut memperoleh pengetahuan praktikal mengenai pertimbangan reka bentuk, metodologi, dan aplikasi dunia sebenar yang semakin penting dalam projek infrastruktur masa kini.

    PUJA Academy terus memajukan pembangunan profesional dengan menganjurkan seminar dan program latihan yang berimpak tinggi dalam bidang kejuruteraan, ukur, seni bina, dan pembinaan, demi memastikan para pengamal industri sentiasa dilengkapi dengan ilmu dan inovasi terkini.

    Gambar beramai peserta seminar anjuran PUJA Academy. – GAMBAR SERAHAN PUJA ACADEMY
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda