BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Forum Kesihatan Wanita The OVATruth: PCOS anjuran kumpulan OVAchievers telah melancarkan PCOS Community Support Platform bagi memperkukuh sokongan komuniti dan meningkatkan kesedaran mengenai Sindrom Ovari Polisistik (PCOS), di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada 18 Ogos lalu.
Pelancaran platform itu di-sempurnakan menerusi ucapan alu-aluan oleh ahli OVAchievers, Awang Mohammad Aiman Hakeem Haji Mohammad Som dan Dayang Nur Adlina Haji Azman, yang menekankan kepentingan kerjasama masyarakat dalam menangani cabaran kesihatan wanita.
Forum tersebut dihadiri oleh Penolong Naib Canselor (Kehidupan Universiti dan Tadbir Urus) UBD, Hajah Maudena binti Haji Abdul Hamid selaku tetamu kehormat.
Program dimulakan dengan tayangan video pendek mengenai cabaran wanita dengan PCOS, selain menyorot usaha advokasi yang dijalankan oleh pihak OVAchievers.
Sesi perbincangan panel di-kendalikan oleh Timbalan Pengarah UniHealth, Dr Deeni Rudita Idris. Perbincang berkenaan menampilkan dua panel iaitu Ketua Jabatan Obstetrik, Ginekologi dan Perubatan Reproduktif di Jerudong Park Medical Centre (JPMC), Dr Lydia Suguna Chitra Karat dan Pengasas BleedSafely, Dayang Siti Zaimah Roslan, yang berkongsi pandangan dan panduan praktikal mengenai kesihatan wanita dan PCOS.
Forum turut diselitkan kuiz interaktif bagi menguji pengetahuan dan meningkatkan kesedaran peserta mengenai PCOS secara informatif namun santai.
Ahli OVAchievers di bawah Program Eksekutif Muda (YEP) Kohort 10 termasuk Awang Muhammad Ar-Rifa’ie Pehin Dato Haji Awang Halbi, Awangku Muhammad Hazim bin Pengiran Haji Muhammad Asyraf, dan Dayang Nurul Amirah Faeezah binti Haji Mohamad Sufri turut terlibat menjayakan penganjuran dengan sokongan penaja sekali gus memudah cara perbincangan interaktif dan melibatkan penyertaan peserta bagi meningkatkan kesedaran serta menggalakkan tindakan dalam aspek kesihatan wanita.
Melalui inisiatif The OVATruth: PCOS, OVAchievers komited memperkasakan wanita dengan menyediakan pendidikan, sumber serta rangkaian sokongan komuniti bagi mereka yang terkesan dengan PCOS di Brunei.





