Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    PUJA, IBTE meterai MoU

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek, Negara Brunei Darussalam (PUJA) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), hari ini, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama dalam pendidikan, penyelidikan dan penyediaan program latihan yang menumpukan kepada bidang juruukur, kejuruteraan dan arkitek.

    Majlis penandatanganan telah berlangsung di Longhouse Training Restaurant, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal di mana hadir menyaksikan penandatanganan selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.

    Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli dalam ucapannya berkata bahawa kerjasama berkenaan melambangkan komitmen untuk pertumbuhan bersama, inovasi, dan visi bersama bagi masa depan dengan memulakan perjalanan kerjasama yang sudah pasti akan menyumbang kepada kemajuan dalam bidang masing-masing.

    Objektif MoU berkenaan adalah untuk menubuhkan, mempromosikan, dan membangunkan kerjasama antara IBTE dan PUJA dalam bidang penyelidikan, pendidikan, dan program-program latihan iaitu ukur bahan, kejuruteraan dan seni bina.

    Salah satu bidang utama kerjasama yang digariskan dalam MoU itu adalah penubuhan Student Chapter PUJA IBTE.

    Dr Haji Mohd Zamri dan Haji Mohd Hanafi semasa pertukaran MoU yang disaksikan oleh Dr Haji Azman semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH JAMES KON

    Menjadi sebahagian daripada Student Chapter PUJA IBTE, pelajar akan mempunyai peluang untuk belajar dan membangunkan kemahiran kepimpinan, melibatkan diri dalam rangkaian aktiviti dan mendapatkan manfaat daripada peluang bimbingan yang berharga.

    “Melalui inisiatif ini, kami berhasrat untuk memupuk generasi yang profesional yang akan memacu inovasi dan kecemerla-ngan dalam bidang juruukur, kejuruteraan, dan seni bina,” jelasnya.

    Presiden PUJA, Haji Mohd Hanafi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Abdul Rahman pula berkata, melalui MoU berkenaan, PUJA Brunei berharap dapat meningkatkan penglibatan persatuan dengan pelajar dan fakulti IBTE, melalui sembilan sekolah yang terpilih yang terdiri daripada Sekolah Penerbangan, Sekolah Perkhidmatan Teknologi Bangunan, Sekolah Tenaga dan Kejuruteraan, dan Sekolah Teknologi Maklumat dan Infokomunikasi (ICT).

    “Kami berharap dapat membantu dan menggalakkan lebih ramai pelajar IBTE menyertai PUJA. Selanjutnya, kami juga ingin meneroka peluang untuk fakulti IBTE menyertai PUJA dan mungkin membimbing mereka bagi menjadi profesional yang berdaftar.

    “Maka dengan itu, MoU ini adalah sangat istimewa bagi PUJA Brunei dan kami berharap untuk akan terus terlibat dalam kerjasama sedemikian dengan IBTE bagi mencapai matlamatnya melengkapkan belia negara de-ngan kemahiran dan pengetahuan yang betul supaya mereka boleh menyumbang kepada industri dan menyokong pertumbuhan ekonomi Negara Brunei Darussalam,” tambahnya.

    Majlis diteruskan lagi dengan penandatanganan MoU antara IBTE dan PUJA dan diikuti dengan penyerahan pelan strategik PUJA kepada IBTE.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda