Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    PUJA latih jurutera tempatan

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – PUJA Academy Sdn Bhd baru-baru ini telah berjaya mengungkayahkan siri seminar teknikal dua bahagian yang diketuai oleh Ir Tu Yong Eng, seorang practising engineer dalam Kejuruteraan Struktur dari Malaysia.

    Seminar-seminar itu direka untuk membantu golongan jurutera tempatan mengukuhkan pemahaman mereka tentang amalan reka bentuk struktur moden menggunakan Piawaian Eurocode.

    Sesi pertama, memberi tumpuan kepada reka bentuk reinforced concrete structures menggunakan piawaian reka bentuk Eropah yang dikemas kini, yang biasanya dirujuk sebagai Eurocodes. Para peserta telah diperkenalkan dengan prinsip teras di sebalik piawaian ini dan bagaimana ia berbeza daripada amalan lama yang digunakan di rantau ini sebelum ini. Sesi itu juga menggariskan keperluan kawalan reinforced concrete quality.

    Ir Tu Yong Eng bergambar ramai bersama para peserta yang menghadiri bengkel berkenaan.  – Gambar Serahan Puja Academy Sdn Bhd

    Seminar kedua mengalihkan tumpuan kepada reka bentuk dan pembinaan struktur keluli. Para peserta meneroka amalan terbaik untuk memastikan keselamatan, ketahanan dan kecekapan dalam bangunan keluli, sambil juga mempelajari cara garis panduan baharu menyokong kemampanan jangka panjang dan pematuhan antarabangsa dalam projek infrastruktur.

    Dengan pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan dan pembangunan piawaian, Ir Tu Yong Eng telah menyampaikan banyak ceramah mengenai Eurocodes dan sesi latihan ini memberikan para peserta gambaran praktikal tentang cara piawaian antarabangsa ini boleh digunakan dengan berkesan dalam projek tempatan.

    Kursus-kursus ini merupakan sebahagian daripada siri kursus yang disediakan oleh PUJA Academy mengenai Eurocodes untuk mengemas kini profesional dan pengamal mereka. Dalam pada itu, PUJA Academy terus memainkan peranan utama dalam pembangunan profesional dengan menyampaikan program latihan yang relevan dan berkesan untuk komuniti kejuruteraan, seni bina dan pembinaan Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda