Membina nama selepas menjuarai pencarian bakat, Hero Remaja 2020, pelakon Nadhir Nasar, 27, semakin laris apatah lagi selepas drama rantaian lakonannya, Projek: High Council mendapat sambutan luar biasa.
Bagaimanapun, Nadhir atau nama sebenar, Ahmad Nadhir Ahmad Nasar berkata, dia tak pernah meletakkan populariti sebagai alasan untuk menaikkan kadar bayaran, sekali gus menidakkan dirinya sebagai pelakon mahal.
“Mungkin hendak kata mahal itu sangat subjektif. Ada sahaja orang fikir yang mahal itu murah, dan yang murah itu mahal. Saya rasa saya masih baharu dan sangat mentah.
“Saya baru berada dalam industri selama dua tahun selepas memenangi Hero Remaja 2020.
“Ini bergantung kepada bagaimana kita melakar laluan diri. Apa sasaran hendak dicapai, misalnya, lagi lima tahun, apa matlamat saya? Begitulah cara saya lakar jalan untuk saya,” katanya kepada BH Online.
Meletak tepi soal bayaran, Nadhir berkongsi dia tidak mahu alpa dengan pujian orang ramai menerusi lakonannnya. Baginya, pujian bak virus yang mampu memberi kesan kepada dirinya.
Sebelum ini, pelakon, Bront Palarae pernah memuji pelakon drama bersiri yang mencetuskan fenomena, Projek: High Council ini.
Bront berpendapat kejayaan drama itu membuktikan Malaysia tidak pernah ketandusan bakat lakonan.
Mengambil perkara itu sebagai pembakar semangat, Nadhir berkata, dia bersyukur apabila ramai yang gemar lakonannya.
“Pujian boleh menjadi virus. Virus daripada segi kita akan fikir diri bagus. Tidak elok sebenarnya perkara itu apabila orang cakap semua yang kita ada berhasil.
“Ia mungkin disebabkan jalan cerita dalam lakonan, dan saya pula hanyalah pelakon yang mainkan watak. Kemudian tempiasnya datang kepada saya.
“Jadi, saya tidak mahu terbawa-bawa dengan pujian itu semua,” katanya. – Agensi