Thursday, October 17, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pukat tunda ancam penyu di Adriatik

    MARINA DI RAVENNA, ITALI – Pada satu pagi yang segar di pesisir pantai Marina di Ravenna, Laut Adriatik kelihatan berkilauan di bawah pancaran terik mentari apabila seorang ahli biologi marin, Linda Albonetti, berdiri di atas sebuah bot.

    Dengan berhati-hati, dia mengeluarkan seekor penyu besar dari sebuah bekas plastik dan melepaskannya ke laut.

    Penyu yang telah dipulihkan, diberikan nama Vulcano, melibaskan siripnya dengan bertenaga ketika ia masuk ke dalam air dan berenang dengan bebas.

    Lokasi pelepasan itu merupakan tempat perlindungan yang tidak sesuai untuk kehidupan penyu, iaitu sebuah kawasan di mana platform-platform mengekstrak bahan metana menunjukkan pencerobohan industri ke dalam habitat penyu.

    Tetapi semenjak aktiviti menangkap ikan diharamkan di kawasan itu, ia merupakan tempat yang selamat untuk melepaskan penyu-penyu setelah ia dirawat di Pusat Eksperimen untuk Perlindungan Habitat (CESTHA).

    Seekor penyu laut bernama Dakota dirawat oleh Linda Albonetti di CESTHA. – AP
    Penyu laut bernama Kim Kardashian memakan ketam di dalam tangkinya. – AP
    Gambar AP
    Embrio sotong dipamerkan oleh Linda Albonetti di CESTHA. – AP
    Penyu laut diberi makan oleh Sara Segati di dalam bekas pasar ikan di Marina. – AP

    Pusat itu menyelamatkan dan menjaga haiwan-haiwan yang tercedera akibat pukat tunda dan berkata mereka telah menyelamatkan lebih daripada 300 ekor penyu, hampir 700 ekor kuda laut, lebih daripada 100 ekor jerung dan ratusan ribu ekor sotong dalam satu dekad kebelakangan.

    Penyu tempayan boleh ditemui di lautan seluruh dunia. Di Adriatik, ia tertumpu di kawasan utara, kawasan penting untuk mencari makan yang juga merupakan kawasan pukat tunda yang dapat memerangkapnya di dalam air.

    Kebanyakan penyu yang dibawa ke CESTHA mempunyai masalah paru-paru, meskipun sebahagian daripadanya juga mempunyai kecederaan yang lebih parah akibat kipas bot atau mata kail pancing, kata Albonetti.

    “Manusia mempunyai kesan terhadap sumber-sumber asli dan juga dapat memberi kesan untuk melindunginya. Kami semua terharu dengan ini,” ujar wanita yang mempunyai tatu di lengan bertulis Keep Me Wild itu.

    CESTHA berpusat di sebuah pasar ikan yang telah diubahsuai berhampiran Adriatik. Di situ terdapat tangki yang penuh dengan penyu yang sedang dirawat, perlahan-lahan menggerakkan siripnya di sepanjang dinding tangki. Setiap tangki dilengkapi dengan kon plastik kecil yang berfungsi melindungi penyu daripada cahaya ketika ia tidur.

    Setiap penyu yang dirawat diberikan nama iaitu Vesuvio, Bobo, Chanel, Baby Freedom.

    Nama-nama tersebut diberikan oleh nelayan-nelayan yang menemukannya, kanak-kanak yang menjaganya dan kadang-kadang daripada kakitangan pusat itu disebabkan sifatnya yang menonjol. Contohnya, seekor penyu diberi nama Kim Kardashian kerana sifatnya yang gemar menjadi perhatian. Sekeping nota tertampal pada tangkinya bertulis, Ya! Saya sangat cantik, sangat cantik sekali.

    Ketika kunjungan AP pada awal June, Albonetti dan rakan-rakan sejawatannya sedang menjaga Cenere, seekor penyu yang cedera teruk empat tahun lalu apabila cengkerangnya pecah dan paru-parunya cedera akibat terkena kipas bot.

    Cenere, pesakit CESTHA yang paling lama berada di sana, telah menjalani lebih daripada 10 pembedahan. Pasukan pusat itu mencipta penutup cangkang 3D untuk melindungi belakangnya yang cedera.

    “Ia seolah-olah satu gelembung untuk mengelakkan lukanya daripada terkena air,” kata Simone D’Acunto, pengarah pusat itu. Cenere, katanya, adalah contoh perkembangan teknologi dalam rawatan penyu laut, yang boleh menelan belanja besar.

    “Pusat kami mempunyai protokol kesihatan untuk setiap spesimen yang mana boleh menjadi mahal kerana setiap haiwan yang datang akan menjalani ujian darah dan x-ray,” katanya.

    Albonetti menyediakan makanan untuk haiwan-haiwan itu berdasarkan pelan penjagaan terperinci yang digantung di dinding. Ia diberi makan sekali seminggu, meniru cara pemakanannya di alam liar.

    Ketika seekor ketam dimasukkan ke dalam satu tangki, penyu bernama Kim Kardashian dengan pantas bergerak untuk menangkapnya, dan rahangnya yang kuat segera menghancurkan mangsanya.

    Cenere akan terus dirawat selama beberapa bulan lagi sebelum menerima penjagaan tambahan di Aquarium Cattolica, akuarium awam kedua terbesar di Itali.

    “Matlamatnya adalah untuk melepaskannya ke laut seperti semua haiwan” yang dirawat di CESTHA, kata Albonetti, walaupun belum ada garis masa yang pasti bila ia akan kembali ke Adriatik.

    Penyu-penyu lain tidak tinggal lama sebelum dilepaskan. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, CESTHA telah melengkapkan dua ekor penyu dengan alat penjejak GPS untuk mengumpul data bagi usaha pemuliharaan.

    Penyu pertama yang dipantau ialah Gaia Speed yang mengembara lebih daripada 4,000 kilometer dalam setahun berikutnya, kata D’Acunto. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda