Wednesday, July 3, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Pulang bawa pengalaman berharga

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Bawah 16 Tahun (B-16) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei setelah menyertai Kejohanan Bola Sepak B-16 AFF 2024 yang berlangsung di Surakarta, Indonesia.

    Hadir di lapangan terbang untuk mengalu-alukan ketibaan dan memberikan kata-kata perangsang kepada para pemain muda negara ialah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), Haji Mahrub bin Haji Murni.

    Sementara itu, Presiden FABD, Haji Feisal Eusoff dalam kenyataannya mengulas mengenai prestasi pasukan dalam kejohanan berkenaan, menyatakan bahawa FABD mengambil maklum akan kekecewaan masyarakat khususnya para peminat, pemain dan pihak yang berkepentingan atas prestasi berkenaan.

    Beliau merakamkan ucapan maaf kepada penyokong mereka yang terus kekal berdiri teguh bersama atlet-atlet muda negara menerusi pelbagai cabaran. Prestasi pasukan, ulasnya, tidak memenuhi harapan dan memahami akan kekecewaan yang dirasai.

    Beliau berkata hasil daripada komunikasi bersama pengurus pasukan telah mendedahkan beberapa faktor yang menyumbang kepada keputusan yang disaksikan dalam kejohanan itu.

    Haji Mahrub semasa bercakap di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – GAMBAR SERAHAN FABD
    Haji Mahrub bergambar ramai dengan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan B16 di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – GAMBAR SERAHAN FABD

    Para pemain negara, tambahnya telah menunjukkan usaha dan dedikasi yang tinggi tetapi berhadapan dengan cabaran-cabaran yang menjejaskan prestasi mereka.

    Antara cabaran-cabaran yang dihadapi itu, jelas Haji Feisal adalah kekurangan pengalaman dan pendedahan di mana pasukan muda kita masih memerlukan pengalaman di peringkat antarabangsa dengan beraksi menentang pasukan yang lebih berpengalaman.

    Dari segi persiapan dan latihan, jelasnya, walaupun latihan yang dilaksanakan adalah cukup intensif tetapi ia jelas tidak mencukupi di peringkat ASEAN. Lebih banyak latihan khusus dan pendedahan kepada pertandingan peringkat tinggi diperlukan, tegasnya lagi.

    Dalam hubungan itu, pihaknya mengambil langkah segera untuk meningkatkan program latihan supaya dapat mempersiapkan para pemain dengan lebih baik bagi kejohanan akan datang.

    Daripada segi kecederaan dan kecergasan, beliau berkata bahawa sesetengah pemain tidak berada di tahap fizikal yang optimum disebabkan oleh kecederaan dan isu-isu kesihatan yang lain.

    “Kami mengambil maklum bahawa sistem sokongan yang lebih baik diperlukan bagi memastikan kesejahteraan dan pemulihan para pemain dengan lebih cepat.”

    Sebagai respons kepada maklum balas orang ramai, FABD mengakui bahawa ia memerlukan seluruh negara untuk menyokong dan memupuk atlet-atlet muda kita di mana semua pihak harus sama-sama memainkan peranan.

    “Kita memerlukan pendekatan seluruh negara di mana setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang kepada kejayaan program bola sepak kita,” tekannya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Kira-kira 115,000 pelarian Afghanistan dari Pakistan, Iran pulang ke tanah air

    KABUL, 2 JULAI – Kira-kira 115,000 pelarian Afghanistan dari Pakistan dan Iran telah pulang ke negara asal mereka sejak sebulan lalu, menurut Kementerian Pelarian...